KUALA LUMPUR 14 September - Bursa Malaysia Securities Berhad telah menegur RHB Investment Bank Berhad (RHB IB) secara terbuka dan mendendanya sebanyak RM350,000 kerana melanggar dua keperluan penyenaraian Pasaran ACE (ACE LR).
Dalam satu kenyataam media hari ini, Bursa Malaysia mendapati penaja dan penasihat utama bagi pemohon kemasukan ke Pasaran ACE tersebut telah melanggar Peraturan 3.02(4) & (5) ACE LR dibaca bersama perenggan 10.1 Nota Panduan 18 (GN18) dan peraturan 4.07(2) & (3) ACE LR di atas kegagalan menjalankan penilaian wajar dan membuat pertanyaan munasabah.
Tambahnya, syarikat itu tidak mempertimbangkan semua perkara berkaitan untuk memastikan tiada kenyataan salah atau ketinggalan material dan/atau semua maklumat material telah didedahkan dengan betul dan tepat dalam penyerahan awal.
Bagi kesalahan kedua, bursa itu berkata RHB Investment Bank melanggar peraturan 2.18(3) dibaca bersama dengan Peraturan 2.18(1)(b) ACE LR disebabkan kegagalan memaklumkan Bursa Malaysia dengan segera mengenai perkembangan penting berkaitan perniagaan, operasi, rancangan masa depan dan prospek pemohon selepas penyerahan awal.
Menurut Bursa Malaysia, penemuan pelanggaran serta teguran awam dan denda dikenakan ke atas syarikat terbabit dibuat menurut Peraturan 16.19 ACE LR.
Bursa Malaysia berkata ia memandang serius pelanggaran tersebut memandangkan peranan utama dan penting yang dimainkan oleh penaja dan penasihat dalam penilaian kesesuaian pemohon untuk penyenaraian ke Pasaran ACE yang merupakan pasaran 'didorong penaja'.
Tambahnya, penaja dan penasihat juga perlu memastikan kualiti, ketepatan dan pendedahan yang mencukupi dalam tawaran awam permulaan dan prospektus untuk cadangan penyenaraian pemohon.
“Bursa Malaysia ingin mengingatkan penaja dan penasihat untuk mengekalkan piawaian integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab tertinggi dalam melaksanakan peranan mereka dengan berkesan dan cekap ke arah memastikan pematuhan ACE LR dan lebih berwaspada dalam memastikan kualiti, penilaian wajar yang betul dan mencukupi, serta semakan menyeluruh permohonan dan prospektus sebelum penyerahan,” tambahnya. - DagangNews.com