Bursa Malaysia tegur, denda RM500,000 terhadap Dataprep dan 5 pengarah akibat jawapan tidak tepat kepada pertanyaan UMA | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia tegur, denda RM500,000 terhadap Dataprep dan 5 pengarah akibat jawapan tidak tepat kepada pertanyaan UMA

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Sept - Bursa Malaysia Securities telah menegur Dataprep Holdings Bhd dan lima pengarahnya secara terbuka kerana melanggar keperluan penyenaraian disebabkan jawapan syarikat itu kepada pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) mengenai kontrak saringan COVID-19 pada Mac 2021.

 

Di samping itu, kelima-lima pengarah Dataprep telah dikenakan denda berjumlah RM500,000, kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan media.

 

Menjawab pertanyaan UMA pada 2 Mac 2021, Dataprep telah menyatakan bahawa ia tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat berhubung perniagaan dan hal ehwalnya, termasuk yang berada dalam peringkat rundingan atau perbincangan, yang belum diumumkan sebelum ini yang mungkin menyumbang UMA.

 

“Maklum balas UMA tersebut tidak berfakta, tidak tepat dan tidak mengandungi maklumat yang mencukupi untuk pelabur membuat keputusan pelaburan termaklum kerana ia tidak mendedahkan dan sebenarnya menafikan pengetahuan tentang rundingan atau perbincangan mengenai cadangan pengambilalihan syarikat tertentu,” kata Bursa Malaysia.

 

Jelasnya, Dataprep menafikan cadangan pengambilalihan bagi melaksanakan kontrak untuk menyediakan teknologi penyelesaian bersepadu untuk saringan COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan, meskipun cadangan terbabit telah diluluskan secara prinsip oleh lembaga pada 17 Februari 2021.

 

“Kira-kira dua minggu selepas maklum balas UMA, Dataprep telah mengumumkan memorandum kerjasama untuk melaksanakan cadangan kontrak saringan COVID-19 pada 12 Mac 2021 dan cadangan pengambilalihan pada 15 Mac 2021,” kata Bursa Malaysia.

 

Kelima-lima pengarah telah didenda RM100,000 setiap seorang, iaitu Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar; Pengarah Urusan, Mohamad Sabir Mohamad Sabri; serta tiga Pengarah Bebas Dan Bukan Eksekutif, Datuk Abdul Aziz Ishak, Nor Adha Yahya dan Ong Kuan Wah.

 

"Bursa Malaysia memandang serius pelanggaran itu memandangkan keperluan untuk memastikan pendedahan maklumat material yang menepati masa dan tepat adalah asas agar pelabur dan orang ramai dimaklumkan sepenuhnya dan mempunyai akses sama kepada semua maklumat penting bagi memudahkan keputusan pelaburan termaklum.

 

"Ini penting untuk membina dan mengekalkan kredibiliti korporat, integriti pasaran dan keyakinan pelabur.

 

"Bursa Malaysia juga telah mengingatkan Dataprep dan lembaga pengarahnya tentang tanggungjawab mereka dalam mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat dan akauntabiliti yang sesuai kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur," tambahnya.  - DagangNews.com