Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Cabaran semasa yang sedang dihadapi oleh AirAsia Group Bhd. dilihat bakal mengurangkan potensi pendapatan yang boleh dijana melalui Asia Digital Engineering Sdn. Bhd. (ADE) yang baru sahaja ditubuhkan semalam.
MIDF Research berkata, meskipun potensi pendapatan unit baharu itu dijangka tinggi, namun ia masih dipengaruhi oleh persekitaran operasi semasa kumpulan tersebut.
"Berdasarkan anggaran kami, potensi pendapatan unit baharu ini boleh mencapai RM1.0 bilion setahun dengan pertimbangan perbelanjaan operasi sebelumnya yang ditanggung kumpulan bagi segmen penyelenggaraan dan pembaikan.
"Namun, kami percaya bahawa persekitaran operasi yang lebih mencabar untuk jangka masa pendek akan lebih mempengaruhi prestasi pendapatannya," kata MIDF Research.
Semalam, AirAsia Group Berhad mengumumkan penubuhan ADE sebagai sebuah anak syarikat milik penuh yang dijangka menjadi peneraju di Asia sebagai penyedia perkhidmatan kejuruteraan untuk pesawat kumpulan AirAsia dan pesawat komersial di rantau ini.
ADE akan beroperasi sebagai unit penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bebas dan berpusat selain memperluaskan kepakaran AirAsia dalam bidang kejuruteraan pesawat.
Tambah MIDF Research, AirAsia Group Berhad akan meneruskan operasi dengan persekitaran yang mencabar sepanjang tempoh pandemik selain kawalan sempadan serta sekatan lain yang menghalang pengoperasian sektor penerbangan.
Susulan itu juga, MIDF Research tidak mengambil kira kesan pendapatan daripada anak syarikat baharu itu hingga pemakluman lanjut.
"Untuk meneruskan ramalan kami, kami jangkakan kumpulan tersebut akan terus mencatatkan penurunan pendapatan secara keseluruhan di bawah prestasi tahun kewangan 2019.
"Kami juga kekalkan anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2020/2021, sebaliknya mengekalkan anggaran pendapatan positif pada tahun kewangan 2022.
MIDF Research mengekalkan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM0.40.
Sasaran tersebut diletakkan seiring dengan kerugian bersih yang dijangkakan untuk tahun kewangan 2020/2021 selain menggambarkan industri penerbangan berada dalam keadaan yang tidak menentu. - DagangNews.com