Cadangan pembangunan Eco Botanic 3 dijangka kukuhkan kedudukan EcoWorld Malaysia di Johor, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Cadangan pembangunan Eco Botanic 3 dijangka kukuhkan kedudukan EcoWorld Malaysia di Johor, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - MIDF Research menjangkakan usaha Eco World Development Group (EcoWorld Malaysia) merancang pembangunan perbandaran Eco Botanic 3 di Iskandar Puteri akan mengukuhkan kedudukan kumpulan itu di Johor.

 

Katanya, kumpulan itu membeli 13 bidang tanah berjumlah 97.25 hektar bagi pembangunan perbandaran kediaman dan komersial bercampur dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.88 bilion. 

 

EcoWorld Malaysia bercadang untuk membiayai pengambilan tanah melalui dana dalaman.

 

"Bagaimanapun, impak kepada kunci kira-kira adalah terhad disebabkan oleh syarat pembayaran yang berperingkat. 

 

"Pengeluaran modal segera ialah 3% daripada harga belian manakala baki 97% perlu dibayar dalam tempoh lima tahun.

 

"Kunci kira-kira kumpulan itu kekal sihat dan akan terus memberi kekuatan bagi meluaskan bank tanah mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: EcoWorld Malaysia cadang bangunkan perbandaran di Iskandar Puteri dengan GDV RM3.88 bilion

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos pegambilan tanah bagi projek Botanic 3 adalah lebih tinggi iaitu sebanyak RM43 bagi sekaki persegi berbanding RM35 sekaki persegi bagi Eco Botanic 2 pada 2019.

 

Katanya, harga tersebut adalah adil memandangan harga tanah semakin meningkat didorong prospek lebih baik untuk landskap hartanah di Johor.

 

"Kami terus melihat prospek jualan baharu yang baik untuk kumpulan yang akan didorong oleh projek perindustrian dan kediaman," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.33 sesaham. - DagangNews.com