Cadangan pengambilalihan aset perindustrian, tingkatkan lagi pendapatan Axis REIT | DagangNews Skip to main content

Cadangan pengambilalihan aset perindustrian, tingkatkan lagi pendapatan Axis REIT

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Feb - Cadangan Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) untuk memperoleh kemudahan perindustrian di Kulai, Johor dengan tunai RM16.3 juta dilihat positif kepada prospek kumpulan. 

 

Penganalisis Hong Leong Investemnt Bank (HLIB) Research, Farah Diyana Kamaludin berkata, pengambilalihan itu menawarkan pertambahan hasil kepada pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak 6.6%, setanding hasil NPI sesama pada 6.7%. 

 

Katanya, dengan aset baharu itu, pendapatan Axis REIT bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY23 akan meningkat antara 0.3 hingga 0.6%. 

 

"Pada masa sama, harga pengambilalihan pada RM271 kaki persegi, juga munasabah bagi ruang perindustrian di Kulai berdasarkan penilaian yang dibuat penilai bebas.

 

"Tambahan pula, kedudukannya juga strategik melalui Lebuh Raya Link Kedua dan Lebuh Raya Utara-Selatan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kawasan Perindustrian i-Park, Bandar Indahpura, Kulai itu yang berkeluasan 60,000 kaki persegi terdiri daripada kilang berkembar 1 tingkat dengan bangunan pejabat 2 tingkat tambahan dan bangunan sampingan.

 

Cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi kemudahan hutang sedia ada dan dijangka selesai menjelang separuh pertama 2022.

 

Semalam, Axis REIT dalam makluman di Bursa Malaysia berkata, langkah itu membolehkan kumpulan mengukuhkan portfolio dalam hartanah perindustrian dan dijangka memberi manfaat dalam tempoh jangka panjang.

 

Menurut Farah Diyana, ketika ini Axis REIT sudah pun memiliki 9 hartanah membabitkan taman perindustrian dan pengambilalihan ini akan memperkukuhkan kedudukannya di kawasan berkenaan.

 

"Memandangkan kumpulan akan menggunakan kemudahan hutang sedia ada bagi membiayai langkah ini, kami menjangkakan nisbah gearan akan meningkat kepada 33% berbanding 33% pada FY21. 

 

"Tetapi, ia masih rendah di bawah had penggearan 60% (kenaikan sementara daripada 50% hingga 31 Disember 2022) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," jelasnya. 

 

Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan penarafan saham Axis REIT dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM2.32. - DagangNews.com