Caj perkhidmatan penumpang domestik kekal, antarabangsa berubah dalam julat RM7-RM73 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Caj perkhidmatan penumpang domestik kekal, antarabangsa berubah dalam julat RM7-RM73

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Mac - Semua pelepasan antarabangsa sama ada ASEAN atau bukan dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dikenakan caj perkhidmatan penumpang (PSC) sebanyak RM73 dan RM50 untuk KLIA2.

 

Perkara ini diumumkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berhubung PSC untuk Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1), bermula dari 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2026.

 

Suruhanjaya itu mengekalkan PSC pelepasan domestik pada RM11 di semua lapangan terbang kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Mavcom berkata kadar PSC yang baru disemak berjulat antara RM7 dan RM73 untuk RP1 yang perlu dibayar oleh penumpang yang berlepas dari dan pertukaran penerbangan melalui Malaysia.

 

Ini termasuk caj keselamatan untuk penyediaan perkhidmatan keselamatan di lapangan terbang.

 

Untuk perjalanan antarabangsa, PSC yang sebelum ini pada kadar berbeza untuk ASEAN telah disatukan menjadi satu PSC iaitu pelepasan antarabangsa tunggal sebanyak RM73 untuk Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) Terminal 1, dan RM50 untuk Terminal 2 KLIA dan lapangan terbang lain.

 

mavcom

 

Pada masa ini, kadar PSC ASEAN ialah RM35 dan antarabangsa lain ialah RM73.

 

Kadar PSC yang disemak termasuk "PSC pemindahan" atau transfer yang baru diperkenalkan untuk penumpang yang berpindah melalui lapangan terbang Malaysia.


Penumpang domestik akan dikenakan bayaran RM7 untuk pemindahan melalui mana-mana lapangan terbang Malaysia, manakala penumpang antarabangsa akan dikenakan bayaran RM42 untuk pemindahan melalui KLIA, dan RM29 melalui KLIA2.

 

Senai adalah satu-satunya lapangan terbang yang menyaksikan peningkatan dalam PSC berlepas domestik kepada RM16, manakala ia menetapkan RM10 sebagai PSC baharu untuk pemindahan domestik.

 

Bagi perjalanan antarabangsa melalui Sena, pelepasan akan dikenakan PSC sebanyak RM50, manakala pemindahan akan dikenakan bayaran RM29.


Selain Senai, Mavcom juga membenarkan lapangan terbang lain yang tidak dikendalikan oleh Malaysia Airports iaitu Lapangan Terbang Kerteh (KTE) dan Lapangan Terbang Tanjung Manis (TGC), untuk mengemukakan cadangan tarif bagi RP1 kepada Mavcom

 

Mavcom berkata semakan PSC dibuat berikutan proses perundingan meluas yang bermula pada 2021.

 

“Tarif PSC yang diumumkan hari ini mencerminkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, bertujuan untuk menyokong daya maju jangka panjang industri,” kata pengerusi eksekutif Mavcom Datuk Seri Saripuddin Kasim.- DagangNews.com