Canon perkenal kamera paling kecil, ringan dan mampu milik siri EOS R100 | DagangNews Skip to main content

Canon perkenal kamera paling kecil, ringan dan mampu milik siri EOS R100

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Canon Marketing Malaysia melancarkan siri EOS R100 yang merupakan kamera paling kecil, ringan dan mampu milik buat masa ini.

 

Pengarah Bahagian Perniagaan Komunikasi Imejnya, Hunter Zhang berkata, pihaknya mengambil berat terhadap keperluan pelbagai jenis jurugambar dengan memastikan kualiti produk sentiasa cemerlang untuk setiap bajet dan pasaran. 

 

"Melalui pelancaran kamera EOS R100 ini, kami berhasrat untuk membuka jalan kepada komuniti pengguna yang baharu supaya mereka dapat menikmati keseronokan merakam kenangan bermakna bersama sistem EOS R," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kamera EOS R100 menghasilkan imej yang jelas dan tepat melalui sensor imej CMOS bersaiz APS-C. Sebagai kamera siri Canon terkecil dan paling ringan, ia adalah seberat tin minuman 330 mililiter dengan berat sekitar 356 gram. 

 

Selain itu, pengguna juga boleh berkongsi gambar di media sosial dengan mudah kerana kamera itu dilengkapi sambungan Bluetooth dan WiFi yang boleh diakses melalui aplikasi 'Canon Camera Connect' di telefon pintar.

 

Pemidang tilik elektronik (EVF) yang tersedia menawarkan keterlihatan lebih jelas di bawah sinaran matahari terik sementara pegangan getah memastikan pengguna memegang kamera dalam keadaan stabil sekali gus membantu menghasilkan gambar tidak bergegar.

 

Selain itu, 'autofocus' yang pantas dan tepat serta disokong pengesanan mata serta muka mampu mengesan dan mengikut subjek pada kawasan imej yang luas. 

 

 

canon

 

 

Oleh itu, gambar dapat ditangkap dengan lebih mudah dan fokus walaupun subjeknya bergegar atau bergerak. Seterusnya, pengguna juga boleh menikmati penstabilan imej dengan lensa yang betul termasuk lensa kit yang dimiliki. 

 

Ia membolehkan pengguna merakam foto tangkapan tangan dengan fokus walaupun di kawasan lampu yang malap. 'Denyar' yang tersedia dalam kamera ini juga dapat membantu bergambar di kawasan pemandangan atau lampu latar yang lebih gelap.

 

Selain itu, pengguna juga boleh mencipta video tanpa perlu membuat rakaman video penuh. Ciri ini amat sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak tanpa perlu bimbang dengan konsep cerita mahupun penyuntingan. 

 

Canon juga menyediakan ciri seperti rakaman video 4K dan filem pergerakan perlahan dengan rakaman kadar bingkai 120p bagi pencipta kandungan yang lebih suka melakukan semuanya sendiri. 

 

Seterusnya, pengguna boleh merakam sambil berjalan kerana teknologi 'Eye Detection AF' dan fungsi 'Movie Digital IS' dalam mod filem akan memastikan kestabilan rakaman yang cemerlang.

 

Selain daripada set kawalan yang biasa didapati dalam kamera DSLR dan tanpa cermin, terdapat mod 'Creative Assist' yang membenarkan pengguna menukar tetapan kepada istilah awam seperti 'background blur', 'brightness' dan 'saturation' (penepuan). 

 

Kamera EOS R100 sesuai dipasang dengan lebih 30 jenis lensa RF dan RF-S dalam barisan lensa RF yang kian berkembang seterusnya membenarkan pengguna mencipta kesan lebih luas, dekat serta jelas. Ia juga boleh dipadankan dengan lebih 80 jenis lensa EF melalui EF-EOS R Mount Adapter. - DagangNews.com