Capital A dijangka umum pelan penyusunan semula syarikat pada bulan ini - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Capital A dijangka umum pelan penyusunan semula syarikat pada bulan ini - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Jun - Capital A Berhad dijangka mengumumkan pelan penyusunan semula syarikat bagi Nota Amalan 17 (PN17) pada bulan ini bagi mendapatkan kelulusan Bursa Malaysia.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kumpulan itu sebelum ini menangguhkan pelan penyusunan itu selepas dinasihatkan untuk menyertakan penyatan kewangan FY22 yang telah diaudit.

 

Katanya, kumpulan itu menjangkakan kelulusan itu akan diperoleh pada Julai ini dan ia akan melengkapkan pelaksanaan pelan penyusunan semula kumpulan itu pada separuh keempat 2023.

 

"Kumpulan itu berharap status PN17 itu akan ditarik balik sebelum akhir tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pada suku pertama berakhir 31 Mac, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM57.1 juta berbanding kerugian bersih RM903.8 juta setahun lalu.

 

Hasil bagi suku itu melonjak kepada RM2.5 bilion daripada RM811.8 juta setahun sebelumnya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu dijangka membawa lebih ramai penumpang pada masa hadapan selepas lebih banyak kapal terbangnya kembali digunakan.

 

Walaupun mereka tidak menafikan kemungkinan tambang penerbangan mungkin berkurangan, mereka menekankan bahawa ini adalah kerana harga bahan api jet semakin berkurangan.

 

Firma itu mengekalkan pandangan bahawa kumpulan itu akan balik modal menjelang suku ketiga 2023.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 90 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com