Capital A, Garuda Indonesia teroka kerjasama perkhidmatan komersial dan logistik di rantau ASEAN | DagangNews Skip to main content

Capital A, Garuda Indonesia teroka kerjasama perkhidmatan komersial dan logistik di rantau ASEAN

Tan Sri Tony Fernandes dan Presiden dan Irfan Setiaputra telah memeterai MoU di Jakarta semalam bagi memperkukuhkan ekosistem penerbangan di rantau ASEAN
Daripada Diyana Isamudin di Jakarta

JAKARTA 28 Sept - Capital A Berhad telah menjalin kerjasama strategik dengan Garuda Indonesia Group untuk mengukuhkan ekosistem penerbangan global selepas wabak COVID-19 dengan meneroka pengembangan rangkaian merentasi pelbagai perniagaan.

 

Kerjasama berasaskan nilai antara Capital A dan Garuda Indonesia secara strategik merangkumi beberapa entiti utama daripada setiap ekosistem, yang menggabungkan dan mengukuhkan keupayaan kedua-dua pihak dalam memenuhi keperluan pelanggan.

 

Ini melibatkan perkhidmatan penerbangan komersial kos rendah (AirAsia dan Citilink), logistik (Teleport dan Garuda Indonesia Cargo), serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dengan Asia Digital Engineering (ADE), yang dimiliki Capital A dan anak syarikat Garuda Indonesia iaitu GMF AeroAsia

 

 

jakarta

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata kumpulan itu menyaksikan kerjasama luar biasa antara dua syarikat terkemuka ASEAN yang digemari oleh berjuta-juta orang kerana nilai, kualiti dan pilihan perkhidmatan terbaik yang ditawarkan.

 

“Hubungan baik kami dengan Garuda bermula apabila Citilink menyertai aplikasi AirAsia SuperApp. Kami sangat teruja terus memperkukuhkan hubungan ini dengan menggabungkan kekuatan dan sumber kami untuk menambah pengalaman terbaik kepada komuniti,” katanya.

 

Tony berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra di di Jakarta semalam.

 

BACA JUGA: Syarikat penerbangan disaran jalin kerjasama perkukuh pertumbuhan ekonomi negara – Tony Fernandes

 

Mengulas langkah strategik itu, Irfan berkata ia menandakan pencapaian penting kepada prospek optimistik industri penerbangan yang bergerak semakin progresif, di mana kerjasama dalam ekosistem penerbangan selepas pandemik akan menjadi satu keperluan untuk terus mengoptimumkan usaha.

 

“Susulan komitmen ini, kami berharap kerjasama dengan Capital A ini bukan sahaja menyediakan asas kepada prospek perniagaan yang semakin kukuh bagi kedua-dua syarikat tetapi juga dapat mengukuhkan komitmen bersama kami dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan nilai tambah terbaik kepada masyarakat,” jelasnya.

 

Irfan menekankan bahawa pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Garuda Indonesia melalui kerjasama dengan rakan strategik, termasuk Capital A, merupakan manifestasi komitmen syarikat untuk terus berkembang bersama.

 

“Ini mewujudkan ekosistem industri penerbangan yang lebih tangkas dan adaptif yang menyahut cabaran prestasi industri penerbangan global dan memberikan impak lebih besar terhadap kewujudan pemain sektor penerbangan untuk masyarakat dunia,” ujar beliau.  - DagangNews.com