SEPANG 8 Jan - Capital A Bhd menandatangani surat tawaran tidak terikat bersama AirAsia X Bhd (AAX) untuk cadangan melupuskan perniagaan penerbangannya iaitu AirAsia Bhd (AirAsia Malaysia) dan AirAsia Aviation Group Limited (anak syarikat AirAsia di Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja).
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, langkah strategik itu bertujuan bagi memperkemas operasi kumpulan itu serta memudahkan penilaian berteraskan perniagaan bagi entiti berasingan yang berpotensi membuka nilai yang lebih besar kepada para pemegang saham.
Beliau berkata, semua perniagaan di bawah Capital A berkembang dengan pesat dan pihaknya kini bersedia untuk ke peringkat yang seterusnya.
"Kami perlu mengumpulkan dana untuk mengembangkan perniagaan, tetapi mendapatkan akses kepada modal telah menjadi suatu cabaran disebabkan Capital A masih dalam status Notis Amalan 17 (PN17). Kami berinteraksi dengan pelabur yang menyatakan kecenderungan mereka yang kukuh untuk terlibat dalam sebuah perniagaan penerbangan sepenuhnya.
"Bagi mengatasi perkara ini serta memastikan kami mendapat suntikan kewangan yang kukuh, kami akan meneruskan penjualan perniagaan penerbangan kami secara strategik kepada AAX bagi mewujudkan sebuah perniagaan penerbangan yang murni, menggabungkan kedua-dua syarikat penerbangan jarak jauh dan dekat di bawah jenama AirAsia, tertakluk kepada rundingan perjanjian jual beli saham yang muktamad dan rumusannya," katanya ketika sesi taklimat media di AirAsia Red Q di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Aviation, Tan Sri Jamaludin Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Bo Lingam; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) AirAsia Aviation, Farouk Kamal dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation, Datuk Kapten Chester Voo.
Tony berkata, selepas pelupusan tersebut, syarikat penerbangan itu bersedia untuk mendapat manfaat daripada pihak pengurusan yang berfokus dengan hala tuju strategik yang lebih jelas yang akan meningkatkan kapasiti perniagaan penerbangan itu dalam meraih peluang pertumbuhan, memperkembang bahagian pasaran, dan mencapai keuntungan yang lebih dipertingkatkan.
"Kami yakin dengan cara mengasingkan perniagaan penerbangan ini daripada Capital A, ia akan memberi laluan kepada perniagaan bukan penerbangan lain di dalam kumpulan ini, yang mana ia sekarang dianggap di bawah nilai di dalam pasaran, untuk juga diiktiraf bagi nilai serta potensi intrisiknya," katanya.
Katanya, syarikat-syarikat di bawah Capital A termasuk Teleport (logistik), Capital A Aviation Services (MRO dan perkhidmatan dalam penerbangan) dan MOVE Digital, juga akan mula menjana modal, seterusnya memberikan peningkatan kepada para pemegang saham bagi saham Capital A mereka, disokong pegangan saham di dalam kumpulan penerbangan yang diperluaskan di bawah pengedaran saham yang dicadangkan.
"Berikutan penjualan perniagaan penerbangan, pemegang saham Capital A akan menjadi pemegang saham kepada dua syarikat tersenarai yang kukuh. Kami percaya langkah ini akan membawa lebih kejelasan kepada pelaburan, mewujudkan asas pemegang saham yang lebih fokus, dan akhirnya membuka kunci nilai untuk para pemegang saham kami.
"Keputusan untuk mencipta sebuah entiti perniagaan yang murni sejajar dengan keutamaan pasaran, menyediakan pemahaman, penilaian, dan penghargaan yang lebih jelas terhadap kekuatan yang berbeza antara perniagaan penerbangan dan bukan penerbangan," katanya.
Tambah beliau, selepas pelupusan penerbangan ini telah selesai, Capital A kekal komited untuk membentangkan pelan penyusunan semula PN17 yang komprehensif selewat-lewatnya pada 30 Jun 2024.
Sementara itu, Pengerusi AirAsia X, Datuk Fam Lee Ee pula berkata, langkah strategik itu bakal menjadikan AAX sebagai pengendali keseluruhan perkhidmatan penerbangan serantau yang menerajui semua laluan jarak dekat dan sederhana di bawah jenama AirAsia.
"Pengambilalihan yang bersejarah ini juga dijangka memberikan kelebihan secara menyeluruh termasuk kedudukan pasaran yang lebih kukuh, peningkatan kecekapan operasi dan penjimatan kos serta prestasi kewangan yang lebih baik.
"Keputusan untuk menggabungkan perniagaan penerbangan melalui pengambilalihan ini memperkukuhkan pemulihan AAX berikutan pelepasannya dari status PN17 pada November 2023," katanya dalam kenyataan media.
Katanya, pengambilalihan strategik itu merupakan aspek penting dalam strategi pemulihan AAX selepas PN17, dalam mengukuhkan kestabilan kewangan dan meningkatkan kedudukan pasaran mereka. - DagangNews.com