CapitaLand Malaysia Trust jual menara pejabat 3 Damansara berharga RM52 juta kepada Lagenda Properties | DagangNews Skip to main content

CapitaLand Malaysia Trust jual menara pejabat 3 Damansara berharga RM52 juta kepada Lagenda Properties

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) menerusi MTrustee Berhad memeterai perjanjian jual beli bagi penjualan menara pejabat 3 Damansara kepada Lagenda Harta Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Lagenda Properties Berhad berharga RM52 juta.

 

Kumpulan itu berkata, hartanah tersebut merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu 3 Damansara Property yang telah diambil alih oleh CLMT pada 2015.

 

Pertimbangan jualan sebanyak RM52 juta itu mewakili premium 4% kepada penilaian bebas terkini sebanyak RM50 juta pada 31 Julai 2023.

 

Cadangan penjualan dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas nilai aset bersih dan pengagihan seunit CLMT bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Hasil bersih selepas kos pelupusan adalah kira-kira RM50.5 juta dan akan digunakan untuk membayar balik pinjaman sedia ada.

 

Jika hasil bersih digunakan untuk membayar balik pinjaman CLMT pada 30 Jun 2023, nisbah penggearan CLMT akan dikurangkan daripada 44.1% kepada kira-kira 43.5%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management, Tan Choon Siang berkata, penjualan sulung CLMT adalah selaras dengan strategi penyusunan semula portfolio mereka dan pihaknya memutuskan untuk mendapatkan hasil daripada aset pejabat bukan teras bagi meningkatkan kualiti portfolio.

 

"Kami akan terus mengkaji secara aktif portfolio kami untuk memberikan kestabilan pendapatan yang lebih baik dan mengoptimumkan pulangan untuk pemegang unit," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang suku pertama 2024. - DagangNews.com