Care Concierge sasar tubuh akademi pengasuh warga emas, teknologi aplikasi dengan dana GDIV | DagangNews Skip to main content

Care Concierge sasar tubuh akademi pengasuh warga emas, teknologi aplikasi dengan dana GDIV

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Care Concierge telah menyasarkan penggunaan dana Gobi Dana Impak Ventures (GDIV) untuk menubuhkan akademi pengasuh dan teknologi aplikasi.

 

Matlamat tersebut sejajar dengan visi syarikat dalam menyediakan penyelesaian inovatif melalui teknologi dan pemikiran reka bentuk untuk muncul sebagai peneraju penyedia penjagaan warga emas holistik di Malaysia. 

 

Mengulas lanjut, syarikat tersebut berkata ia akan memperuntukkan dana GDIV untuk menubuhkan  Akademi  Care Concierge dalam usaha meningkatkan industri penjagaan warga emas bagi menyediakan peluang peningkatan kemahiran dan laluan  kerjaya yang jelas untuk pengasuh mahir yang profesional.

 

Akademi itu ditubuhkan secara perkongsian  dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), di mana peranan utamanya adalah untuk menyediakan latihan, pensijilan dan melengkapkan  pengasuh mahir dengan kelayakan yang diperlukan untuk penjagaan berkesan yang terbaik bagi warga emas.

 

“Sebahagian besar dana tersebut akan digunakan untuk mengukuhkan Akademi Care Concierge, dengan pengambilan belia B40 di bawah umur 30 tahun bagi  menggalakkan mereka memilih laluan kerjaya berdaya maju dan baru muncul ini,” tambah syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, aplikasi Care Concierge akan ditambah baik dengan teknologi IoT canggih yang akan menyediakan  pendekatan serampang dua mata, berfungsi sebagai platform pembelajaran utama bagi pelajar dan pensyarah serta menyediakan akses dalam talian yang mudah untuk mendapatkan bahan pengajian.

 

 

(Dari kanan) Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Care Concierge, Martin Yap dengan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Care Concierge, Justin Yap.
(Dari kanan) Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Care Concierge, Martin Yap dengan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Care Concierge, Justin Yap.

 

 

Pada masa yang sama, ia juga akan menjadi platform sokongan digital  utama untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan penjagaan warga emas. 

 

“Aplikasi tersebut juga memudah cara ketelusan dalam komunikasi untuk  komuniti pengasuh, pakar penjagaan lain, warga emas dan  keluarga mereka, di samping menjejaki dan memantau vital serta mencatat tugasan seharian, menyediakan ringkasan penjagaan untuk ahli keluarga,” katanya.

 

Kini, Care Concierge menyediakan penyelesaian  penjagaan kehidupan warga emas yang berkualiti, di semua enam kediaman hidup  berbantu dengan lebih daripada 350 bilik di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

 

Dengan pembiayaan tambahan yang diterima, syarikat itu merancang menyediakan 1,000 bilik tambahan dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Care Concierge, Martin Yap berkata, "Dengan kerjasama kerajaan dan  institusi pengajian tinggi, Akademi Care Concierge disasarkan menyokong impak  sosial dan ekonomi yang sihat dengan menyediakan penjagaan yang betul dan terbaik secara  berterusan untuk warga emas.”

 

GDIV diuruskan oleh syarikat modal usaha niaga Pan-Asia, Gobi Partners dan disokong oleh  dana kekayaan negara Malaysia, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), di bawah mandat Dana Impak Khazanah yang mempunyai peruntukan sebanyak RM6 bilion bagi tempoh lima tahu. -DagangNews.com