Catat keputusan lebih lemah daripada jangkaan, MIDF turunkan unjuran pendapatan FY22/23 Bermaz Auto | DagangNews Skip to main content

Catat keputusan lebih lemah daripada jangkaan, MIDF turunkan unjuran pendapatan FY22/23 Bermaz Auto

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 14 Dis -  MIDF Research menurunkan unjuran pendapatan tahun kewangan penuh 2022 dan 2023 (FY22/FY23) Bermaz Auto Bhd selepas kumpulan automotif itu mencatatkan keputusan yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Menurut firma penganalisis itu, pihaknya kini mengurangkan pendapatan FY22/23 Bermaz Auto masing-masing sebanyak 12% dan 17% untuk mencerminkan andaian volum yang lebih konservatif bagi Mazda dan Peugeot.

 

Katanya, semakan itu juga turut dipengaruhi impak Cukai Makmur yang dijangka meningkatkan kadar cukai berkesan sebanyak 2-3 mata peratusan bagi FY22.

 

"Berikutan semakan pendapatan, kami turun meletakkan harga sasaran (TP) yang lebih rendah RM1.98 sesaham berbanding RM2.35 sesaham sebelum ini.

 

"Kami mengekalkan panggilan BELI kami pada Bermaz Auto," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Kumpulan automotif itu melaporkan pendapatan teras sebanyak RM27 juta (+3.7% yoy / +147% qoq) untuk 2QFY22. 

 

"Ini menjadikan pendapatan teras 1HFY22nya kepada RM37 juta (+5% yoy), yang menyumbang 30% daripada FY22 kami dan 29% daripada anggaran konsensus. 

 

"Walaupun kami menjangkakan 2HFY22 yang lebih kukuh, kami menganggap ini di bawah jangkaan memandangkan volum jualan yang lebih lemah daripada jangkaan dan kerugian awal daripada Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB)," kata MIDF. 

 

Operasi Bermaz Auto pada 2QFY22 masih terjejas oleh kapasiti operasi di bawah optimum memandangkan pematuhan tahap vaksinasi yang diperlukan dalam tempoh segera selepas MCO3.0. 

 

Operasi perkilangan khususnya, hanya kembali kepada kapasiti penuh menjelang akhir September, yang mengheret prestasi keseluruhan pada suku tersebut. -DagangNews.com