Amerika Syarikat hentikan sekatan import sarung tangan getah Supermax selepas hampir 2 tahun | DagangNews Skip to main content

Amerika Syarikat hentikan sekatan import sarung tangan getah Supermax selepas hampir 2 tahun

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Sept - Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) membenarkan Supermax Corp Bhd mengimport sarung tangan pakai buangnya, selepas agensi tersebut menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas syarikat tersebut.

 

CBP AS dalam satu kenyataan media berkata perintah pelepasan penahanan (WRO), yang dikeluarkan terhadap Supermax Corp dan tiga anak syarikatnya sejak 21 Oktober 2021 atas dakwaan buruh paksa, telah ditarik balik berikutan kejayaan pemulihan petunjuk buruh paksa dalam rantaian bekalan syarikat terbabit.

 

Berkuat kuasa serta-merta, agensi itu berkata ia akan membenarkan import sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan oleh Supermax Corp dan tiga anak syarikatnya (Supermax Glove Manufacturing, Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd dan Maxwell Glove Manufacturing Bhd) memasuki AS, dengan syarat ia mematuhi undang-undang AS.

 

Pegawai Kanan CBP Menjalankan Tugas Pesuruhjaya, Troy A Miller berkata tindakan tersebut menekankan kesan berterusan usaha penguatkuasaan agensi itu memacu pemulihan dan menghapuskan buruh paksa daripada rantaian bekalan.

 

"Setiap orang berhak mendapat layanan yang berperikemanusiaan dan bermaruah di tempat kerja, tidak kira siapa mereka atau di mana mereka tinggal dan itulah sebabnya kerja ini penting," ujar beliau.

 

CBP mula menguatkuasakan WRO terhadap Supermax Corp dan anak syarikat milik penuhnya berdasarkan bukti yang munasabah menunjukkan kewujudan 10 daripada 11 penunjuk buruh paksa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

 

Sebagai tindak balas kepada WRO, syarikat itu menunjukkan kepada CBP bahawa ia telah mengambil langkah untuk memulihkan penunjuk buruh paksa yang dikenal pasti dalam rantaian bekalannya.

 

Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Eksekutif Pejabat Perdagangan CBP, AnnMarie R Highsmith berkata kewaspadaan agensi itu dalam isu ini menunjukkan kepada industri dan dunia bahawa ia komited sepenuhnya untuk meningkatkan standard etika barangan yang memasuki AS dan menamatkan buruh paksa.

 

Setakat ini pada tahun fiskal 2023, CBP telah mengeluarkan empat perintah. CBP berkata usaha penguatkuasaan buruh paksa telah menghasilkan peningkatan keadaan hidup dan bekerja untuk berpuluh-puluh ribu pekerja, termasuk pembayaran balik lebih AS$50 juta (RM234.72 juta) dalam gaji tertahan dan yuran pengambilan yang digunakan untuk memerangkap pekerja dalam hutang perhambaan.

 

Pada 12:25 tengah hari ini, saham Supermax Corp menokok 3 sen atau 3.7% kepada 84 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.29 bilion.  - DagangNews.com