CelcomDigi, Petros sedia rumusan komunikasi di tapak penggerudian pertama Sarawak | DagangNews Skip to main content

CelcomDigi, Petros sedia rumusan komunikasi di tapak penggerudian pertama Sarawak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) bekerjasama dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) untuk menyediakan rumusan komunikasi bagi menghubungkan tapak penggerudian telaga di darat baharu syarikat tersebut yang terletak di utara Sarawak.

 

CelcomDigi telah memasang rangkaian khusus termasuk stesen transceiver pangkalan mudah alih (PBTS) dalam tempoh masa tiga minggu di tapak yang terletak di Blok SK433, yang merangkumi kawasan Miri-Marudi, bagi menyokong keperluan rumusan kesalinghubungan menjimatkan kos,

 

“Pemasangan ini memberi manfaat kepada lebih 100 pekerja dengan menyediakan kesalinghubungan berkelajuan tinggi penuh agar memudahkan mereka untuk terus berhubung walaupun berada di kawasan terpencil,” kata CelcomDigi dalam kenyataan media hari ini.

 

Dengan adanya rangkaian yang stabil, Petros juga akan lebih bersedia untuk mengurus risiko kesihatan dan keselamatan tapak projek dan pekerja, sekiranya berlaku kecemasan.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, Afizulazha Abdullah berharap kerjasama mereka dapat diteruskan untuk membuka lebih banyak sinergi dan peluang dalam menyampaikan pengalaman digital terbaik di tapak daratan dan luar pesisir Petros.

 

 

Afizulazha Abdullah
Afizulazha Abdullah

 

 

“Dengan pemasangan ini, CelcomDigi telah meletakkan persediaan asas untuk Petros, yang kemudiannya melengkapkan tapak daratan ini dengan teknologi inovatif dan rumusan digital tersuai bagi membantu memacu kecekapan dan prestasi operasi keseluruhannya,” ujar beliau.  - DagangNews.com