KUALA LUMPUR 11 Julai - Anak syarikat milik penuh Censof Holdings Bhd, Century Software (Malaysia) Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM13.4 juta daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk projek sistem pengurusan kewangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Censof berkata, kontrak daripada SSM adalah untuk pembangunan, pembekalan, pelaksanaan, waranti, sokongan, penyelenggaraan dan lesen sistem pengurusan kewangan.
Kontrak tersebut adalah selama enam tahun dari 19 Julai 2023 hingga 18 Julai 2029.
Pengarah Urusan Kumpulan Censof, Ameer Shaik Mydin berkata, pihaknya berbesar hati kerana SSM memilih Censof untuk menyediakan proses hujung ke hujung berkaitan sistem pengurusan kewangannya untuk organisasinya.
"Projek ini tidak dapat dinafikan sebagai bukti rekod prestasi kami yang terbukti sebagai penyedia sistem pengurusan kewangan dan ia dijangka memberikan keterlihatan pendapatan kumpulan untuk enam tahun akan datang dari tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 dan seterusnya.
"Dengan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SSM atas keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap Censof untuk melaksanakan projek tersebut," katanya dalam kenyataan media di sini.
Ameer berkata, memanfaatkan pengalaman dan kepakaran pihaknya selama lebih dua dekad, mereka dapat menyesuaikan rumusan untuk memenuhi keperluan pelanggan.
"Kami akan terus membangunkan rumusan pengurusan kewangan yang inovatif untuk pelanggan dan mendapatkan lebih banyak kontrak dalam masa terdekat untuk mengukuhkan lagi kedudukan Censof sebagai penyedia terkemuka rumusan perisian pengurusan kewangan," katanya. - DagangNews.com