Central Global ambil alih 30% ekuiti RYRT International bernilai RM13.26 juta | DagangNews Skip to main content

Central Global ambil alih 30% ekuiti RYRT International bernilai RM13.26 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Central Global Berhad (CGB) menerusi anak syarikatnya, CIC Construction Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli besyarat dengan RYRT Holdings Sdn. Bhd. bagi mengambilalih 600,030 saham biasa mewakili 30% kepentingan ekuiti syarikat bernilai RM13.26 juta.

 

Pertimbangan pembelian itu hendaklah dipenuhi sepenuhnya melalui penerbitan 10,200,000 saham biasa baharu dalam CGB pada harga terbitan RM1.30 setiap saham.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Chew Hian Tat berkata, setahun yang lalu pihaknya memutuskan untuk memanfaatkan kelebihan mereka dalam segmen pembinaan kepelbagaian dalam subsektor infrastruktur melalui RYRT International.

 

“Kami bukan sahaja berjaya menembusi sektor pembinaan Sabah tetapi kami terus mencipta jejak dalam industri ini berkat penyepaduan keupayaan dan kepakaran RYRT International terutamanya dalam subsektor infrastruktur dengan kumpulan itu dianugerahkan menaiktaraf sistem bekalan air di Lahad Datu Fasa 1, projek pembaikan cerun di Sri Putatan, Lahad Datu dan projek Jalan Semawang ke Tanjung Kuala Gum-Gum.

 

“Kami menjangkakan RYRT International akan terus mendapatkan lebih banyak projek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya dan projek berkaitan air serta projek empangan hidroelektrik di Sabah. 

 

"Kami juga menjangka untuk mengembangkan aktiviti pembinaan kami termasuk kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (“EPC”) dan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (“EPCC”) di Sabah sementara kami mendapatkan peluang serupa di Semenanjung Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Pada 31 Mac 2023, tempahan pembinaan CGB dan anak-anak syarikatnya yang belum dibilkan adalah kira-kira RM369.84 juta manakala tender kumpulan berjumlah kira-kira RM10.8 bilion.

 

CICC telah menyelesaikan pemerolehan awal 70% kepentingan ekuiti dalam RYRT International pada April 2022.

 

CICC juga memeterai perjanjian jaminan keuntungan dengan RYRT Holdings menjamin bahawa RYRT International akan mencapai agregat untung bersih teraudit sebanyak RM43 juta untuk tempoh dua tahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 dan 31 Ogos 2023. - DagangNews.com