Central Global terima kelulusan pemegang saham peroleh baki 30% kepentingan dalam RYRT International berharga RM13.26 juta | DagangNews Skip to main content

Central Global terima kelulusan pemegang saham peroleh baki 30% kepentingan dalam RYRT International berharga RM13.26 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Central Global Berhad berjaya menerima kelulusan daripada pemegang sahamnya bagi memperoleh baki 30% kepentingan atau 600,030 saham biasa dalam RYRT International Sdn. Bhd. dengan harga RM13.26 juta.

 

Pertimbangan pembelian RM13.26 juta akan dipenuhi melalui penerbitan 10.2 juta saham biasa baharu dalam Central Global (Saham Pertimbangan) pada harga terbitan RM1.30 setiap saham.

 

Selepas selesai pengambilalihan itu, Central Global akan melihat perubahan dalam struktur kumpulannya dengan kemasukan RYRT International sebagai anak syarikat milik penuhnya.

 

Ini seterusnya akan membolehkan kumpulan itu mengiktiraf 100% keputusan kewangan RYRT International sekali gus meningkatkan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang sahamnya.

 

RYRT International kini merupakan penyumbang keuntungan terbesar kumpulan yang telah menyumbang kira-kira 94% kepada keuntungan bersih kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

central
Chew Hian Tat

 

Pengarah Urusan kumpulan, Chew Hian Tat berkata, prospek industri pembinaan di Malaysia kekal cerahdan pihaknya menjangkakan peningkatan sebanyak 6.1% pada 2023 merentas semua subsektor.

 

Beliau berkata, pelaksanaan projek baharu seperti menaik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2) dan pecutan projek infrastruktur yang sedang berjalan termasuk pelancaran rangkaian 5G selain subsektor kejuruteraan awam bagi ECRL dan LRT3. 

 

"Selain itu, pelaburan yang diluluskan bagi projek dalam sektor pembuatan juga dijangka memacu permintaan yang lebih besar untuk bangunan bukan kediaman.

 

"Sebagai pemain dalam subsektor pembinaan kejuruteraan awam, kami berharap dapat memanfaatkan pemangkin pertumbuhan ini," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), hari ini.

 

Buku tender semasa kumpulan berjumlah kira-kira RM4.4 bilion manakala buku pesanannya berjumlah RM307.6 juta. - DagangNews.com