CGB lantik 2 ahli Lembaga Pengarah baharu | DagangNews Skip to main content

CGB lantik 2 ahli Lembaga Pengarah baharu

Tengku Dato’ Indera Abu Bakar Ahmad diumumkan sebagai seorang daripada anggota Lembaga Pengarah baharu Central Global Berhad.


 

KUALA LUMPUR 24 Jun – Syarikat tersenarai di Papan Utama, Central Global Berhad mengumumkan pelantikan Tengku Dato’ Indera Abu Bakar Ahmad dan Shaharuddin Abdullah sebagai pengarah bukan eksekutif baharu Kumpulan.

 

Tengku Abu Bakar, 36, berpengalaman di dalam perancangan strategik, mengkhusus dalam perniagaan berkaitan kesihatan, e-dagang dan teknologi maklumat.

 

Beliau kini merupakan pengerusi Fomema Sdn Bhd, yang mengendalikan sistem ujian pemeriksaan perubatan pekerja asing di Semenanjung Malaysia, selain pengerusi beberapa syarikat berkaitan lain.

 

Beliau juga adalah pengarah Bookdoc Holdings Sdn Bhd, yang menguruskan aplikasi mobil menghubungkan pesakit dengan profesional perubatan.

 

Tengku Abu Bakar merupakan pemegang Ijazah Perakaunan Perniagaan dari Swinburne University of Technology, Hawthorne, Australia.

 

Beliau juga sepanjang kerjayanya meraih pengalaman dengan berurusan bersama syarikat multinasional dan memberikan bimbingan serta sokongan di dalam syarikat di mana beliau merupakan anggota Lembaga Pengarah.

 

Shaharuddin, 60, merupakan bekas pegawai Polis Diraja Malaysia dan bersara sebagai Penolong Pesuruhjaya Polis dengan jawatan akhirnya Ketua Pentabiran Jabatan Sumber Manusia (Polisi) PDRM.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains Sosial dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Diploma Penyiasatan Forensik dari Universiti Malaya.

 

Ditubuhkan pada 1972, Central Global Berhad secara prinsipal terlibat di dalam bidang perkilangan dan pembinaan. Ia merupakan pakar di dalam pembuatan pita industri dan stok label selain penyedia rumusan sehenti bagi pita kertas krep.

 

Divisyen pembinaan Syarikat ditubuhkan pada 2019 dan aktif terutamanya d wilayah utara Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com