CGS-CIMB jangka tiada perubahan besar terhadap semakan semula MSAP | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka tiada perubahan besar terhadap semakan semula MSAP

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - CGS-CIMB menjangkakan semakan semula Standard Mandatori bagi Harga Capaian (MSAP) pada 2022 tidak akan membawa sebarang perubahan besar. 

 

Menurut firma itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya berpuas hati dengan keupayaan tahap semasa pelan jalur lebar runcit. 

 

Pada 3 Julai lalu, SKMM menerbitkan laporan siasatan umum mengenai untuk mengkaji semula Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) mulai 1 Ogos ini. 

 

Ia menyaksikan kelajuan data mudah alih ditingkatkan kepada 2.5Mbps berbanding sebelum itu 1Mbps manakala standard sedia ada untuk jalur lebar fiber dikekalkan. 

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata, semakan semula MSQoS bagi kehilangan latensi, kadar penggunaan rangkaian dan penguatkuasaan mengikut lokasi (berbanding purata nasional) telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan syarikat telekomunikasi berdasarkan maklum balas daripada PI berkenaan. 

 

"Tetapi, ketika taklimat tersebut, SKMM memberi jaminan kepada syarikat telekomunikasi bahawa MSQoS baharu akan dilaksanakan dengan adil dan mereka diberi tempoh masa tertentu untuk mematuhi standard ditetapkan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara dasarnya, MSQoS merupakan salah satu instrumen kawal selia utama yang diwujudkan bagi memastikan pengguna di Malaysia memperoleh perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti.

 

Dalam pada itu, MSQoS yang baharu disediakan melalui Siasatan Awam bermula pada 8 April hingga 4 Jun 2021.

 

Berikutan itu, MCMC telah mengeluarkan Laporan Akhir Siasatan Awam mengikut Seksyen 65 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang merangkumi MSQoS Perkhidmatan Pelanggan (baharu); MSQoS Jalur Lebar Tanpa Wayar; MSQoS Jalur Lebar Talian Tetap dan MSQoS Perkhidmatan Selular Awam.

 

MSQoS yang baharu itu merangkumi penetapan kualiti piawaian minimum perkhidmatan pelanggan serta tiga MSQoS sedia ada diperbaharui bagi meningkatkan piawaian minimum kualiti perkhidmatan rangkaian telekomunikasi.

 

Pada Jumaat lalu, SKMM membentangkan prestasi Pelan Infrastruktur Digital Negara (Jendela) bagi suku kedua 2021 yang mana sasaran fasa pertama yang ditetapkan menjelang akhir 2022 kekal tidak berubah.

 

Setakat 30 Jun 2021, ia menyaksikan sebanyak 342,424 premis mempunyai perkhidmatan jalur lebat menerusi pelaksanaan Jendela melebihi sasaran awal sebanyak 184,802 presmis manakala 52 tapak baharu dibangunkan setakat ini berbanding sasaran 46 tapak. 

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor telekomunikasi Malaysia dengan pilihan utama saham Telekom Malaysia Bhd. (TM).

 

Ini kerana katanya, syarikat telco terus menunjukkan kemajuan yang baik dalam memenuhi sasaran Jendela tanpa melibatkan sebarang isu yang berat. 

 

"Namun, perkara yang harus diberi tumpuan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang termasuklah senarai akses/MSAP pada separuh kedua 2021 atau separuh pertama 2022. 

 

"Selain itu, pengumuman mengenai pembida yang berjaya meraih tender pelancaran satelit jalur lebar akan meningkatkan minat pelabur terhadap syarikat kontraktor telekomunikasi," katanya. 

 

Firma itu memberi saranan 'tambah' dengan harga sasaran TM pada RM7 manakala Maxis Berhad, RM4.80 dengan saranan 'pegang'. - DagangNews.com