CGS-CIMB jangka untung bersih Hong Leong Bank lebih lemah pada 4QFY23 kesan penguncupan margin faedah bersih | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka untung bersih Hong Leong Bank lebih lemah pada 4QFY23 kesan penguncupan margin faedah bersih

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Hong Leong Bank Berhad dijangka catat keuntungan bersih yang lebih lemah dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berdasarkan jangkaan margin faedah bersih (NIM) lebih rendah pada suku tersebut berbanding tiga suku sebelumnya.

 

Susulan keputusan kewangan suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 semalam, CGS-CIMB berkata keuntungan bersih sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) bank meliputi 79% daripada ramalan setahun penuh firma yang dianggap sejajar memandangkan 4QFY23 mungkin lebih lemah.

 

“Berdasarkan ini, kami menganggap untung bersih 9MFY23, yang merangkumi 73% daripada anggaran konsensus Bloomberg, sebagai di bawah jangkaan pasaran,” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

 

Walaupun bank itu dijangka lemah pada 4QFY23, firma itu mengunjurkan pertumbuhan untung bersih teras yang kukuh sebanyak 12.5% pada tahun kewangan berakhir 31 Jun 2023 (FY23) didorong oleh kenaikan 18.6% dalam pendapatan bukan faedah dan peningkatan 8% dalam sumbangan Bank of Chengdu (BOC).

 

Mengulas berkenaan prestasi 3QFY23 bank itu, firma itu berkata pertumbuhan keuntungan bersih suku tersebut di landasan yang betul walaupun NIM menguncup 33 mata asas.

 

 

BACA: Hong Leong Bank catat untung bersih RM930 juta pada 3QFY23

 

 

“Ini terutamanya disebabkan oleh lonjakan 93.6% YoY dalam pendapatan bukan faedah, penurunan 25.9% YoY dalam peruntukan kerugian pinjaman, dan kadar cukai yang lebih rendah sebanyak 16.3% pada 3QFY23 berbanding 23.9% pada 3QFY22, terutamanya disebabkan Cukai Makmur tidak berulang,” tambahnya.

 

Menurut firma itu, saham Hong Leong Bank menawarkan pertumbuhan kukuh melalui BOC dan pertumbuhan pinjaman di atas industri, dan pertahanan iaitu salah satu kualiti aset terbaik dan salah satu nisbah pinjaman kepada deposit terendah dalam sektor ini.

 

Pemangkin penarafan semula adalah pengembangan pantas sumbangan BOC dan pertumbuhan pinjaman industri, tambahnya.
 

Oleh itu, CGS-CIMB mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23-25 dan mengulangi saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) pada RM25.30 sesaham.

 

Setakat pukul 10 pagi hari ini, saham Hong Leong Bank susut 4 sen atau 0.2% kepada RM19.32 dengan modal pasaran sebanyak RM41.9 bilion. -DagangNews.com