CGS-CIMB kekalkan anggaran 39% pertumbuhan untung bersih Mr D.I.Y | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekalkan anggaran 39% pertumbuhan untung bersih Mr D.I.Y

Mr D.I.Y

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Anggaran pertumbuhan keuntungan bersih syarikat Mr D.I.Y Group (M) Bhd. (MDGM) masih dikekalkan pada kadar 39% bagi tempoh tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, ini kerana pihaknya menjangkakan tekanan kos akan berkurangan pada separuh kedua tahun kewangan 2021.

 

"Pendapatan purata bagi setiap kedai juga dijangka beransur pulih pada tahap sebelum pandemik pada akhir tahun kewangan 2021.

 

"Ia seiring dengan pelancaran vaksin COVID-19 secara beransur-ansur di Malaysia," jelas CGS-CIMB Research.

 

Meskipun pelaksanaan PKP 2.0 pada Januari 2021 diramal memberi kesan negatif kepada penurunan dalam tempoh suku pertama 2021, impak tersebut bagaimanapun adalah tidak teruk kerana hanya kurang 2% daripada keseluruhan kedai ditutup.

 

Mr D.I.Y melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM349.4 juta bagi tahun kewangan 2020, meningkat 10.3% berbanding suku sebelumnya.

 

Meskipun prestasi pada separuh pertama tahun kewangan 2020 agak lemah susulan pelaksanaan PKP, syarikat berkenaan berjaya mencatatkan pemulihan pendapatan dan keuntungan yang kuat pada separuh kedua tahun kewangan 2020.

 

CGS-CIMB Research memberitahu, syarikat berkenaan juga menambah 141 kedai pada tahun kewangan 2020 yang terdiri daripada Mr. D.I.Y., Mr TOY dan Mr DOLLAR.

 

Dividen sesaham (DPS) syarikat berkenaan bagi suku keempat tahun kewangan 2020 bernilai 0.7 sen mewakili nisbah pembayaran 40%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' saham Mr D.I.Y dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih tinggi sebanyak RM3.95," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com