CGS-CIMB kekalkan saranan 'tambah' saham Thong Guan Industries | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekalkan saranan 'tambah' saham Thong Guan Industries

Thong Guan Industries Berhad

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Ogos - CGS-CIMB Research meneruskan saranan 'tambah' bagi harga sasaran saham syarikat Thong Guan Industries Berhad.

Saranan tersebut dibuat menerusi nota kajiannya setakat Jumaat lalu dengan sasaran harga RM6.81.

"Kami menilai perkara tersebut disebabkan oleh prestasi Thong Guan yang berada dalam fasa pengembangan syarikatnya.

"Kedua, permintaan kepada produk filem premium turut meningkat selain bonus saham yang dicadangkan mampu meningkatkan kecairan pasaran (syarikat)," kata CGS-CIMB Research.

Keuntungan bersih Thong Guan pada separuh tahun pertama 2020 berkurang 40.5% kepada RM37.1 juta berbanding tahun sebelumnya.

Pendapatan syarikat tersebut pula melonjak 5.6% berbanding tahun sebelumnya didorong oleh keuntungan yang diperoleh daripada prestasi dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi serta permintaan terhadap produk premiumnya.

Bagaimanapun, keuntungan bersih syarikat tersebut pada separuh tahun pertama 2020 melebihi jangkaan yang dibuat CGS-CIMB Research iaitu pada 55% daripada ramalan bagi FY20.

Thong Guan mengumumkan dividen sesaham (DPS) adalah 2 sen pada suku kedua yang menjadikan nilai komulatif DPS bagi tahun kewangan 2020 kepada 4 sen yang turut melebihi jangkaan CGS-CIMB Research.

Dalam nota kajian sama, CGS-CIMB Research turut memberitahu, penurunan pendapatan Thong Guan pada suku kedua 2020 adalah disebabkan oleh dua perkara.

"Penurunan tersebut disebabkan oleh pengurangan jumlah tenaga kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.

"Selain itu, kejatuhan harga bahan mentah yang didorong oleh prestasi perdagangan minyak antara Arab Saudi-Rusia turut menjadi penyumbang," jelas CGS-CIMB Research lagi.

Bagaimanapun, permintaan tinggi terhadap produk premium serta pertukaran mata wang asing (forex) yang lebih baik dapat membantu syarikat berkenaan menjana pertumbuhan sebanyak 0.2% dalam jumlah keuntungan pada suku kedua 2020. - DagangNews.com