CGS-CIMB : KPJ Healthcare boleh jana sehingga RM50 juta daripada penjualan unit Indonesia | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : KPJ Healthcare boleh jana sehingga RM50 juta daripada penjualan unit Indonesia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Jan - CGS-CIMB Research menjangkakan KPJ Healthcare Bhd. boleh menjana sehingga RM50 juta daripada cadangan penjualan unitnya di Indonesia pada suku pertama 2023. 

 

Hasil yang lebih baik daripada suku berkenaan bagi unit tersebut, dilihat mampu meningkatkan penilaian kumpulan perubatan berkenaan.

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap KPJ dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.01 sesaham. 

 

"Dengan menjangkakan keuntungan bersih sebanyak RM5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan 10x nilai perusahaan (PE) bagi KPJ Indonesia, ia mampu mengumpul sehingga RM50 juta daripada langkah tersebut. 

 

"Jika ia dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk tunai dan digunakan untuk membayar balik hutang, kami menganggarkan penggearan bersih akhir FY23/FY24 KPJ turun sedikit kepada 0.8x/0.8x, walaupun pendapatan sesaham (EPS) teras FY23 hingga FY24 dijangka jatuh sebanyak 2 hingga 3%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam taklimat dengan KPJ ketika Hari Korporat Malaysia secara maya baru-baru ini, firma itu mendapati pelupusan sepenuhnya operasi Indonesia (dua hospital dengan 170 katil) dijangka selesai pada akhir suku pertama 2023.

 

Ketika sesi itu juga, kumpulan memberitahu kadar penghunian katil bagi operasi di Malaysia lebih perlahan menjelang akhir 2022, di tengah-tengah musim perayaan tetapi masih melebihi paras 50%. 

 

CGS-CIMB menjangkakan KPJ akan meraih manfaat daripada kemasukan pelancongan kesihatan dari China selepas ia melonggarkan sekatan terhadap COVID-19 pada 8 Januari lalu. 

 

"Bagaimanapun, jumlah ini mungkin sedikit kerana pelancong China membentuk kira-kira 5% daripada hasil pelancongan kesihatan bagi FY19 atau 0.3% daripada jumlah hasil KPJ," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, katanya, kumpulan itu menjangkakan untuk merekodkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih baik pada suku akan datang dengan mengambil kira skala ekonomi yang lebih baik, perolehan yang tertumpu dan peningkatan intensiti hasil.

 

"Namun, kami secara konservatif mengunjurkan margin EBITDA bagi FY23 akan mengecil kepada 20.6% (berbanding 21.1% pada FY22) disebabkan tekanan kos pekerja," katanya. - DagangNews.com