KUALA LUMPUR 4 April - CGS-CIMB Research mengekalkan penarafan saham IGB Bhd. dengan saranan 'tambah', sebaliknya menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM2.61 daripada RM2.50 sebelum ini.
Menurut firma itu, langkah IGB untuk menebus sepenuhnya saham kumulatif keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCCPS) mungkin menyingkirkan harga saham 'overhang' kerana ia menghapuskan kesan pencairan daripada penukaran RCCPS.
Oleh itu, katanya, semakan semula TP itu dibuat setelah mengeluarkan kesan kecairan daripada RCCPS (pengurangan 75% tidak berubah kepada aset bersih dinilai semula-RNAV).
"Kami mengulangi saranan 'tambah' kerana kami percaya risiko kenaikan seterusnya kepada harga saham boleh direalisasikan dengan pendedahan baharu mengenai rancangan untuk menyuntik aset baharu dalam IGB REIT, kemungkinan membabitkan Mid Valley Southkey di Johor yang beroperasi sejak April 2019.
"Selain itu, ia juga didorong persekitaran operasi yang bertambah baik bagi aset peruncitan dan hospitaliti (terutama Mid Valley Megamall dan The Garden di bawah IGB REIT) ekoran pembukaan semula sempadan antarabangsa serta prospek dividen tinggi yang lebih jelas," katanya dalam nota kajian hari ini.
Harga saham IGB meningkat 22.3% (42 sen) sejak CGS-CIMB memulakan liputan terhadap kumpulan mulai Disember 2021, didorong oleh skim penebusan penuh RCCPS sebelum tempoh matang 7 tahun pada 25 Mac lalu.
Secara dasarnya, RCCPS 1 untuk 1 adalah sebahagian daripada pertimbangan berkaitan perjanjian penswastaan Goldis-IGB Corp. pada 2017 yang membawa kepada pembentukan IGB.
Selepas penebusan penuh, pemegang RCCPS akan menerima jumlah tunai sebanyak RM3.30 per RCCPS (RM3.28/RCCPS (jumlah penebusan bersamaan dengan harga terbitan RCCPS) ditambah 1.58 sen dividen (pada 4.3% hasil tersirat).
Menurut CGS-CIMB, memandangkan harga penutupan saham IGB ialah RM2.30 pada 1 April lalu, adalah 30% lebih rendah daripada harga penebusan RCCPS, ini secara teorinya membayangkan bahawa majoriti pemegang RCCPS berkemungkinan mengambil pilihan penebusan penuh dan bukannya menukar kepada saham biasa.
Setakat ini, katanya, ia mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22)-FY23 kerana tidak mengaitkan kesan daripada RCCPS.
"Unjuran dividen sesaham (DPS) kami sebanyak 10 sen setahun dalam FY22-FY24 adalah utuh kerana kami menganggap tiada dividen khas daripada penjualan tanah di United Kingdom (UK).
"Ini mencerminkan hasil dividen bagi FY22-FY24 sebanyak 4.4%, yang mana akan memberi sokongan kepada harga saham," jelasnya.
Setakat 12.19 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 10 sen atau 0.43% kepada RM2.31 dengan 5,500 saham diniagakan. - DagangNews.com