CGS-CIMB optimis Infomina catat prestasi kukuh pada separuh kedua FY23 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB optimis Infomina catat prestasi kukuh pada separuh kedua FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Jan - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Infomina Bhd. dengan harga sasaran kekal pada RM1.70 sesaham memandangkan kumpulan dijangka merekodkan prestasi kukuh pada separuh kedua bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2023 (FY23).

 

Kumpulan merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM6.4 juta pada suku kedua, selepas menambah anggaran perbelanjaan sekali sahaja daripada tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.4 juta.

 

Ini menjadikan keuntungan bersih teras pada separuh pertama kepada RM11.2 juta, merangkumi 36.3% daripada anggaran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23. 

 

"Kami menganggap anggaran ini berada dalam jangkaan kami, kerana menjangkakan hasil yang lebih kukuh pada separuh kedua.

 

"Ini terutamanya disebabkan kemajuan pembayaran yang lazimnya kukuh pada separuh kedua tahun kewangan Infomina dan nilai kontrak diiktiraf yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Infomina merekodkan pendapatan yang mendatar pada suku kedua berakhir 30 November 2022 kerana sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen turnkey diimbangi dengan segmen pembaharuan yang lebih rendah. 

 

Namun, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada suku kedua masih berkembang 0.6% suku ke suku manakala keuntungan bersih teras berkembang 36.1% kepada RM6.4 juta.

 

Prestasi lebih baik ini dipacu sumbangan yang lebih tinggi daripada margin projek dan kemajuan pembayaran di bawah segmen turnkey.

 

CGS-CIMB menganggarkan Infomina merekodkan nilai kontrak sebanyak RM530 juta setakat akhir Disember 2022, yang akan memberi pendapatan kepada kumpulan sehingga FY27.

 

Firma itu juga mendapati nilai tender kumpulan adalah melebihi paras RM380 juta. 

 

"Daripada jumlah ini, kumpulan dijangka memenangi beberapa kontrak daripada pasaran domestik dan luar negara dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

 

"Kami juga percaya Infomina akan mendapat manfaat daripada pelan pengembangan yang sedang dijalankan oleh pelanggan baharu dan sedia ada dalam kerangka utama dan ruang transformasi IT," katanya. 

 

Setakat 2.19 petang ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.68% kepada RM1.47 dengan 501,100 saham diniagakan. - DagangNews.com