CGS-CIMB : Pelabur institusi tempatan catat jualan ekuiti bulanan tertinggi sejak Mac 2017, sebanyak RM3.6 bilion 'hangus' | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Pelabur institusi tempatan catat jualan ekuiti bulanan tertinggi sejak Mac 2017, sebanyak RM3.6 bilion 'hangus'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 April – Pembelian ekuiti tempatan oleh pelabur asing meningkat 19% bulan ke bulan kepada RM3.3 bilion pada Mac 2022, paras tertinggi sejak Januari 2018, demikian menurut CGS-CIMB Research.

 

Firma itu mendapati bahawa 65% daripada pembelian bersih ini berlaku selepas Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu kerana komoditi Malaysia mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih tinggi.

 

"Ini menyaksikan pelabur asing membeli ekuiti sebanyak RM6.5 bilion bagi tempoh suku pertama 2022 berbanding jualan bersih RM1.7 bilion ekuiti bagi tempoh sama tahun lalu.

 

"Malah, ia juga mengurangkan aliran keluar asing terkumpul sejak 2010 kepada RM28.4 bilion. 

 

"Ini adalah permulaan yang positif dari segi kepentingan asing dalam ekuiti Malaysia selepas jualan bersih 4 tahun berturut-turut oleh pelabur asing selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)," katanya dalam laporan strateginya hari ini.

 

 

Bursa Malaysia

 

 

Secara keseluruhan, pada bulan lalu, indeks utama FBM KLCI susut 1.3% bulan ke bulan kepada 1,587 mata. 

 

KLCI merupakan pasaran ekuiti berprestasi paling teruk dalam kalangan MIST (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand) pada Mac 2022 tetapi mengatasi prestasi MSCI Asia Pasifik (kecuali Jepun Index-MXASJ) sebanyak 1.6%.

 

Pada 3 Mac, KLCI memulakan dagangan setinggi 1,618.5 mata sebelum kembali merosot ke paras rendah 1,546 mata yang direkodkan 8 Mac disebabkan pengambilan untung berikutan kebimbangan terhadap potensi kesan inflasi sekatan perdagangan ke atas Rusia.

 

KLCI memperoleh semula kerugian apabila pelabur kembali positif susulan cadangan Malaysia untuk membuka semula sempadan pada 1 April 2022.

 

Antara perkembangan positif yang mempengaruhi pasaran pada bulan tersebut termasuklah keputusan kerajaan untuk mengekalkan model rangkaian borong tunggal (SWN) bagi pelancaran 5G dan tawaran menjual 70% ekuiti Digital Nasional Bhd. (DNB) kepada pengendali rangkaian mudah alih, diikuti komitmen kerajaan terhadap projek MRT3.

 

 

KWSP

 

 

Namun, pengumuman pengeluaran khas RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menjadi faktor negatif utama kepada pasaran, yang menyebabkan penjualan ekuiti oleh pelabur institusi tempatan.

 

Susulan itu, CGS-CIMB mendapati, pelabur institusi tempatan merekodkan jualan ekuiti sebanyak RM3.6 bilion pada Mac 2022, meningkat 28.5% bulan ke bulan.

 

"Ini merupakan jualan bulanan tertinggi sejak Mac 2017. Bagi suku pertama 2022, ia merekodkan jualan ekuiti berjumlah RM6.9 bilion berbanding RM4.8 bilion bagi tempoh sama tahun lalu," jelasnya.

 

Pelabur runcit pula, katanya, membeli ekuiti sebanyak RM321 juta pada bulan tersebut daripada RM98 juta pada bulan sebelumnya.

 

Namun, bagi tempoh suku pertama, pembelian ekuiti pelabur runcit susut 91% kepada RM506 juta berbanding RM5.4 bilion bagi tempoh sama 2021. 

 

Dari segi penyertaan pelabur, pada Mac ia menyaksikan nilai purata dagangan harian (ADTV) pelabur institusi tempatan berkembang 2% kepada 50%, tertinggi sejak Januari 2020.

 

ADTV bagi pelabur asing pula berkembang 3% bulan ke bulan kepada 26% pada Mac 2022, mengatasi bahagian dagangan runcit buat kali pertama sejak Mac 2020.

 

Sementara itu, bahagian nilai dagangan pelabur runcit susut 5% kepada 24% pada Mac daripada 29% bulan sebelumnya, terendah sejak September 2019.

 

 

pelabur

 

 

Bagi April 2022, CGS-CIMB menjangkakan KLCI kekal berada dalam julat memandangkan pasaran menilai perkembangan positif daripada harga komoditi yang lebih tinggi.

 

Selain itu, katanya, ia turut dipengaruhi kedatangan pelancong yang lebih tinggi dengan pembukaan semula sempadan negara dan kemasukan semula pekerja asing. 

 

"Ini akan mengurangkan kekurangan semasa, terhadap potensi tekanan dalam margin keuntungan korporat disebabkan peningkatan kos untuk elektrik, bahan api, bahan mentah dan buruh dan juga kenaikan kadar faedah," jelasnya.

 

Bagaimanapun, firma itu mengulangi sasaran akhir tahun KLCI berlegar pada 1,622 mata dengan 3 saham pilihan utamanya iaitu Hong Leong Bank Bhd., Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Petronas Chemicals Group Bhd. - DagangNews.com