CGS-CIMB: Public, Hong Leong ‘paling selamat’ daripada risiko kredit | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB: Public, Hong Leong ‘paling selamat’ daripada risiko kredit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - CGS-CIMB Research meletakkan dua buah bank yang akan selamat daripada kesan pinjaman terjejas kasar (GIL) iaitu Public Bank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad. 

 

Pada tahun 2021, GIL bank-bank tempatan dijangka meningkat disebabkan penularan COVID-19 selain pelaksanaan moratorium pinjaman. 

 

Disebabkan itu, CGS-CIMB menasihatkan para pelabur untuk menumpukan saham bank yang ‘terselamat’ daripada risiko kredit.

 

Sehubungan itu, selepas menilai tahap kebertahanan bank-bank di bawah liputan firma penyelidik itu, CGS-CIMB mendapati Public Bank dan Hong Leong Bank adalah yang paling selamat iaitu pada kadar 37% hingga 38% berbanding pesaing lain (10%-24%).

 

HLB

 

AmBank pula mencatatkan jumlah skor terendah iaitu 10% disebabkan oleh perlindungan kerugian pinjaman (LLC) dan jumlah penimbal lebih lemah.

 

“Kami menggalakkan pelabur untuk memiliki saham Public Bank dan Hong Leong Bank, yang merupakan pilihan teratas kami bagi sektor itu. 

 

“Ini memandangkan kami berpendapat keuntungan bersih bagi kedua-duanya yang paling kurang terjejas antara pesaing lain sekiranya nisbah GIL melonjak pada tahun 2021,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

 

Bagi menangani kebimbangan pasaran terhadap nisbah GIL yang dijangka meningkat pada tahun hadapan, CGS-CIMB menilai kebertahanan bank-bank daripada risiko kredit termasuk menganggarkan perlindungan cagaran dan peruntukan penimbal untuk GIL.

 

Kajian CGS-CIMB mendapati perlindungan cagaranbank adalah kukuh pada kadar purata 79.3% menjelang FY21 hingga FY22, manakala peruntukan penimbal pula boleh menampung sehingga 80.5% sekiranya GIL meningkat.

 

CGS-CIMB menilai lapan bank di bawah liputan mereka menggunakan lima indikator iaitu nisbah GIL tertinggi sepanjang 20 tahun lalu, perlindungan cagaran, LLC, jumlah perlindungan penimbal dan peratusan pendedahan pinjaman kepada gadai janji perumahan. 

 

public

 

Selain itu, CGS-CIMB turut menjalankan penilaian ke atas keuntungan bersih FY21 bank-bank (FY22 khusus untuk AmBank serta Alliance Bank Malaysia Berhad) dengan jangkaan nisbah GIL mereka akan meningkat dua kali ganda pada penghujung 2021 daripada paras Jun 2020 dan bank mungkin mengekalkan LLC pada kadar 80%. 

 

“Hasil daripada penilaian itu menunjukkan keuntungan bersih tiga buah bank iaitu Public Bank, Hong Leong dan Bank Islam Malaysia Berhad berdepan impak kecil memandangkan jumlah peruntukan penimbal dapat meliputi peruntukan tambahan akibat nisbal GIL yang mencanak,” tambah CGS-CIMB. 


 

Melabur dalam saham-saham bank dengan risiko kredit lebih rendah membolehkan pelabur memanfaatkan pemangkin penilaian semula sektor yang mempunyai pemulihan pendapatan berpotensi pada tahun 2021 selain mengurangkan risiko penurunan akibat kenaikan GIL dan peruntukan LLC terhadap pendapatan dan harga saham mereka.

 

Analisis yang dilaksanakan CGS-CIMB mendapati bank-bank Malaysia mempunyai perlindungan cagaran dan peruntukan yang kukuh untuk mengatasi isu peningkatan GIL. 

 

Perlindungan kukuh itu mampu mengimbangi impak negatif ke atas keuntungan bersih bank-bank berkenaan sekali gus mendorong CGS-CIMB untuk mengekalkan penarafan ‘overweight’ sektor tersebut. - DagangNews.com