CGS-CIMB saran ‘tambah’ saham Unisem | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran ‘tambah’ saham Unisem


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan ‘tambah’ saham syarikat semikonduktor, Unisem (M) Berhad dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM5.50.

“Peningkatan perolehan didorong lonjakan pelanggan baharu dan kecepatan dalam pelaksanaan infrastruktur rangkaian 5G merupakan pemangkin berpotensi sementara kelewatan penggunaan rangkaian 5G, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan peningkatan semula ketegangan perdagangan adalah risiko utama untuk saranan kami,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

Hasil berbentuk dolar AS Unisem pada suku ketiga (3Q20) melonjak 18.5% berbanding suku sebelumnya kepada AS$85, iaitu jualan suku tertinggi sejak lapan suku tahunan sebelumnya. 

Ini didorong oleh peningkatan penggunaan di kedua-dua kilang Ipoh dan Chengdu setelah permintaan di kesemua segmen bertambah baik. 

“Prestasi jualan yang kukuh mendahului panduan pertumbuhan jualan 10% oleh pihak pengurusan. 

“Secara keseluruhannya, keuntungan bersih meningkat 45% daripada RM33.5 juta pada suku kedua 2020 (2Q20) kepada RM48.5 juta pada 3Q20,” tambah CGS-CIMB.

Dalam pada itu, kumpulan itu sedang meneroka penggunaan kapasiti tambahan yang terdapat di Ipoh dengan menambah projek modul amplifier tenaga baharu untuk pelanggan utama RF pada tahun 2021.

“Kami menjangkakan Unisem dapat mengekalkan tahap perbelanjaan modal yang lebih tinggi melebihi RM200 juta setiap tahun pada 2020 hingga 2021 bagi menyokong program baharunya RF, cip pengurusan kuasa dan sensor mikrofon.

“Secara keseluruhannya, kami meningkatkan perolehan sesaham (EPS) tahun kewangan 2020 sebanyak 17% hingga 24%,” kata CGS-CIMB.  -  DagangNews.com