CGS-CIMB turunkan penarafan Lotte Chemical Titan kepada 'kurang', diunjur terus catat kerugian ekoran tekanan kos bahan mentah | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB turunkan penarafan Lotte Chemical Titan kepada 'kurang', diunjur terus catat kerugian ekoran tekanan kos bahan mentah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Julai - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan Lotte Chemical Titan Holding Bhd. (LCT) kepada 'kurang' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.87 daripada RM2.43 sesaham sebelum ini berikutan harga polimer dan monoetilena glikol yang lebih rendah disebabkan permintaan yang lemah. 

 

LCT merekodkan kerugian bersih teras sebanyak RM49 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding keuntungan bersih teras sebanyak RM381 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala RM41 juta pada suku pertama 2022.

 

Firma itu berkata, kerugian bersih teras sebanyak RM9 juta dengan ketara yang direkodkan pada separuh pertama 2022 mengatasi ramalan keuntungan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) yang diunjurkannya sebelum ini sebanyak RM166 juta dan manakala konsensus Bloomberg sebanyak RM256 juta.

 

Katanya, permintaan bagi polimer yang lemah disebabkan masalah kekurangan buruh dalam kalangan penukar plastik, manakala kesan penuh kos naphtha yang lebih tinggi bermula sejak perang Rusia-Ukraine pada akhir Februari lalu telah menjejaskan melanda LCT suku kedua 2022.

 

"Setakat tahun ini, sebaran monoetilena glikol jatuh mendadak berbanding purata pada 2021, kerana harga jualan monoetilena glikol mengalami tekanan yang ketara akibat permintaan polister hiliran yang lemah dan peningkatan kapasiti. 

 

"Purata sebaran polimer setakat tahun ini juga berada di bawah purata 2021, dengan sebaran polipropilena jatuh mendadak berbanding polietilena, dan kami melihat prospek lemah bagi harga jualan polimer bagi sepanjang tahun ini memandangkan inflasi menyebabkan pengguna di peringkat global mengurangkan perbelanjaan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Lotte Chemical Titan rugi RM145.92 juta pada suku kedua dipengaruhi pelbagai faktor luaran

 

LCT merekodkan kerugian bersih sebanyak RM145.92 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding keuntungan bersih RM382.29 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Kerugian itu disebabkan kos bahan mentah naptha yang lebih tinggi meningkat 64% tahun ke tahun pada suku berkenaan dan harga produk LCT yang menurun dalam pasaran disebabkan penurunan nilai inventori sebanyak RM96.5 juta kepada nilai boleh direalisasi bersih.

 

Kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai pada separuh pertama 2022 sebanyak RM46.5 juta bagi tempoh tersebut, terutamanya terjejas akibat kos bahan mentah yang lebih tinggi dan pelbagai faktor luaran.

 

Menurut CGS-CIMB, kos bahan mentah naphtha telah menurun dengan ketara pada Julai 2022 berbanding paras pada Jun, disebabkan permintaan petrokimia yang lemah.

 

"Tetapi, malangnya, harga polimer juga semakin menurun, mengatasi kelemahan kos naphtha dan mengakibatkan sebaran menurun," katanya.

 

Ini menyebabkan firma itu menjangkakan LCT akan merekodkan kerugian bersih teras pada FY22 hingga FY24 berbanding anggaran keuntungan bersih sebelum ini berikutan tekanan kos bahan mentah dan penurunan mendadak harga jualan.

 

Malah, katanya, persaingan dengan Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) juga akan semakin melebarkan lagi kerugian bersih teras LCT bagi FY23.

 

"Pemangkin penurunan penarafan yang berpotensi termasuk persaingan yang semakin meningkat dengan PCG sebaik sahaja loji Pengerang beroperasi pada akhir tahun ini.

 

"Ia mungkin mengakibatkan LCT kehilangan harga jualan polimer yang premium di Malaysia sebanyak 
AS$50 hingga AS$100 satu tan berbanding harga di Asia Tenggara yang lebih luas penanda arasnya," jelasnya.

 

Pada masa sama, menurutnya, penambahan kapasiti petrokimia pada 2022 mungkin melebihi pertumbuhan permintaan.

 

"Turut dipengaruhi dengan permintaan pengguna yang semakin lemah, ini akan menghalang harga jualan petrokimia daripada meningkat secukupnya untuk menampung kos bahan mentah naphtha yang lebih tinggi," katanya. 

 

Setakat 11.34 pagi ini, harga saham LCT susut 1 sen atau 4.98% kepada RM1.91 dengan 2.23 juta saham diniagakan. - DagangNews.com