KUALA LUMPUR 7 Dis - CGS-CIMB Research yakin cukai dan levi minyak sawit yang lebih tinggi dikenakan Indonesia sejak pertengahan November 2022 membawa kepada pelebaran diskaun harga minyak sawit mentah (MSM) antara Indonesia dan Malaysia kepada RM587 satu tan dan meningkatkan daya saing eksport minyak sawit negara.
Firma itu percaya ia menjadi penyumbang kepada perkembangan eksport minyak sawit Malaysia pada November 2022.
Katanya, faktor lain yang mendorong permintaan minyak sawit ialah diskaun menarik MSM sebanyak AS$276 (RM1,213) berbanding minyak kacang soya (Brazil) pada November 2022 berbanding AS$246 (RM1,081) pada Oktober 2022.
"Dari segi bekalan, kami mendapati daripada pengeluar minyak sawit bahawa beberapa ladang kelapa sawit telah terjejas oleh hujan lebat pada Oktober-November 2022 dan ini membawa kepada pengeluaran yang lebih rendah daripada jangkaan.
"Mengenai isu kekurangan pekerja, kami mendapati daripada syarikat perladangan bahawa mereka mengambil lebih ramai pekerja asing.
"Bagaimanapun, hanya sebahagiannya mengurangkan kekurangan pekerja kerana ia mengambil masa untuk mengenal pasti, mengambil dan melatih pekerja (proses pengambilan yang lebih ketat) untuk meningkatkan produktiviti di ladang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, harga MSM di Malaysia meningkat 11% dari bulan ke bulan kepada RM4,087satu tan pada November 2022 disebabkan permintaan yang pulih dan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan akibat isu cuaca.
Firma itu, menjangkakan permintaan minyak sawit akan kekal kukuh pada bulan Disember berikutan acara perayaan (Krismas dan Tahun Baharu pada Januari 2023).
"Ini ditambah pula dengan jangkaan bekalan minyak sawit yang lebih rendah pada bulan-bulan akan datang.
"Kami menjangkakan harga MSM akan didagangkan dalam julat RM3,800-4,200 satu tan pada Disember 2022 dan purata RM5,122 bagi setiap tan pada 2022 dan RM3,800 untuk setiap tan pada 2023," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com