CGS International perkenal jenama, visi baharu selepas pengambilalihan CGS-CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

CGS International perkenal jenama, visi baharu selepas pengambilalihan CGS-CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 April - CGS International Securities Malaysia memperkenalkan jenama dan visi baharunya selepas China Galaxy Securities (CGS) melengkapkan pengambilalihan CGS-CIMB Securities (Malaysia) pada 29 Disember 2023.

 

Penjenamaan semula ini merangkumi pengenalan nama korporat baharu dan logo dikemas kini yang mencerminkan warisan syarikat sambil menandakan trajektori pertumbuhannya.

 

Menurut CGS Malaysia, nama baharunya dibina berdasarkan ekuiti jenama positif usaha sama CGS-CIMB dan keupayaannya di peringkat domestik dan serantau melalui rangkaiannya.

 

Pengambilalihan itu dijangka meningkatkan rangkaian CGS International Securities Pte Ltd di China dan ASEAN, khususnya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

 

Ia juga dijangka menyediakan CGS Malaysia hubungan yang lebih baik dengan pelanggan serantau dan peluang pelaburan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CGS Malaysia, Azizah Mohd Yatim berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang positif bagi penawaran produk serta rumusan terbaik dalam memenuhi nilai sosial serta etika kebanyakan pelabur serta perniagaan seperti kewangan Islam serta kemampanan. 

 

"Selama bertahun-tahun kami mencatatkan perkembangan positif bersama pelanggan di Malaysia yang telah meletakkan kepercayaan kepada kami.

 

"Menerusi penjenamaan semula ini, kami berhasrat untuk membawa perniagaan kami ke tahap yang lebih tinggi dengan memberi fokus kepada pertumbuhan strategik.

 

"Ia termasuk menambahbaik platform, menyediakan perkhidmatan pelanggan serta memberikan pengalaman lebih baik serta meluaskan khidmat nasihat serta keupayaan pasaranmodal ekuiti serta rumusan pengurusan kekayaan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CGS International, Carol Fong berkata, sebagai CGS International baharu, pihaknya bersedia untuk meneruskan visi yang lebih luas untuk menjadi syarikat pelaburan global Asia.

 

Beliau berkata, pada tahun 2022, mereka membentangkan pelan tindakan strategik untuk mengemudi kumpulan ke arah perniagaan yang pelbagai dan mampan, merangkumi penyelesaian lebih 40 tawaran perbankan pelaburan di Singapura, Malaysia dan Thailand serta mendapatkan lesen perbankan pelaburan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

 

CGS International juga berjaya mendapatkan lesen pengurusan aset di Singapura, Malaysia dan Thailand.

 

"Kami menyasarkan untuk memudahkan kerjasama ekonomi yang lebih besar, pelaburan dan pembiayaan rentas sempadan selain menyokong pengembangan syarikat China dan ASEAN," katanya. - DagangNews.com