Chin Hin beri penjelasan kepada Bursa Malaysia berkaitan dagangan sahamnya sehingga cetuskan UMA | DagangNews Skip to main content

Chin Hin beri penjelasan kepada Bursa Malaysia berkaitan dagangan sahamnya sehingga cetuskan UMA

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities) mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) kepada Chin Hin Group Bhd. berikutan kenaikan mendadak harga sahamnya baru-baru ini.

 

Dalam makluman itu, Bursa Securities menasihatkan pelabur supaya mengambil perhatian terhadap jawapan syarikat kepada pertanyaan UMA, yang akan disiarkan di laman web Bursa Malaysia di bawah Pengumuman Syarikat (bahagian) semasa membuat keputusan pelaburan mereka.

 

Bagaimanapun, Chin Hin dalam maklum balasnya berkata, syarikat tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat yang berkaitan dengan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang belum diumumkan sebelum ini, yang mungkin menyumbang kepada aktiviti perdagangan termasuk yang dalam peringkat rundingan/perbincangan.
 

Katanya, melainkan pada 22 April lalu, M&A Securities Sdn. Bhd. bagi pihak syarikat mengumumkan cadangan kumpulan untuk melaksanakan terbitan bonus sebanyak 885,081,996 saham biasa baharu dalam Chin Hin berasakan 1 bonus saham bagi setiap 1 saham biasa yang dimiliki pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kemudian. 

 

"Selepas itu, pada 17 Mei 2022, M&A Securities mengumumkan bahawa syarikat mencadangkan untuk melaksanakan cadangan pelupusan 129,100,000 saham Solarvest, mewakili 19.34% ekuiti dalam Solarvest Holdings Bhd. kepada Divine Inventions Sdn. Bhd. untuk pertimbangan tunai sebanyak RM103.28 juta. 

 

"Pada 14 Julai 2022, syarikat telah mengeluarkan pekeliling kepada pemegang saham berhubung cadangan terbitan bonus dan cadangan pelupusan kepada pemegang saham, tertakluk kepada Mesyuarat Agung Luar Biasa akan diadakan pada Khamis, 4 Ogos ini," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Menurut Chin Hin, lembaga pengarah tidak mengetahui sebarang khabar angin dan laporan mengenai perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang mungkin menyumbang kepada aktiviti dagangan.

 

Malah, katanya, lembaga pengarah juga tidak mengetahui sebarang penjelasan lain yang mungkin untuk mengambil kira aktiviti dagangan.

 

"Dalam hal ini, syarikat mematuhi Keperluan Penyenaraian (LR) Bursa Securities, khususnya Perenggan 9.03 LR mengenai kewajipan pendedahan segera," jelasnya.

 

Dalam penutupan petang ini, harga sahamnya susut 18 sen atau 3.52% kepada RM4.93 dengan 854,800 saham diniagakan. - DagangNews.com