CIMA labur hampir RM2 bilion operasi di N. Sembilan, terbaharu kilang bancuh konkrit Sendayan | DagangNews Skip to main content

CIMA labur hampir RM2 bilion operasi di N. Sembilan, terbaharu kilang bancuh konkrit Sendayan

Aminuddin Harun (tengah) merasmikan kilang bancuh konkrit UPC di Sendayan semalam.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 10 Jan – Cement Industries Malaysia Berhad (CIMA) telah melabur hampir RM2 bilion bagi membangunkan operasi bersepadu di Negeri Sembilan sepanjang tiga dekad lalu.

 

Terbaharu anak syarikat CIMA, Unipati Concrete Sdn Bhd (UPC) melancarkan kilang bancuh konkrit kelimanya yang terletak di Sendayan bagi menyokong pelbagai projek pembangunan dan pembinaan di Negeri Sembilan.

 

Kilang tersebut yang mula beroperasi pada Ogos 2023 berperanan bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan dan mengoptimumkan penghantaran penyelesaian siap bancuh ke pelbagai pembangunan di Negeri Sembilan.

 

Ini termasuklah di Malaysia Vision Valley 2.0 serta pembinaan komersial dan perumahan lain di kawasan Sendayan, Nilai, dan Labu.

 

Majlis perasmian kilang tersebut disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun semalam. 

 

Turut hadir  Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim,  Pengarah Urusan UEM Group Berhad merangkap Pengerusi UPC, Datuk Mohd Izani Ghani; Pengerusi CIMA, Datuk Zaiviji Ismail; Pengarah Urusan CIMA, Sharuddin Omar Hashim dan Ketua UPC Hassan Basri. 

 

Menerusi kilang kelima ini dan ketiga di Negeri Sembilan, kapasiti pengeluaran konkrit tahunan UPC telah meningkat kepada 933,000 meter kubik (m3). 
 


Sementara itu, Zaiviji Ismail berkata, pelancaran kilang bancuh konkrit baharu ini bukan sahaja sebahagian daripada pembesaran operasi UPC tetapi merupakan tekad CIMA untuk terus menerajui industri pembinaan Malaysia yang kian berkembang.

 

“UPC, salah satu penyumbang pendapatan CIMA, komited untuk terus mempelopori pengeluaran penyelesaian konkrit siap bancuh inovatif dan lebih hijau yang selari dengan inisiatif pembangunan lestari syarikat. 

 

"Kami bersedia untuk meluaskan kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan agensi-agensinya bagi menerapkan amalan kelestarian yang lebih meluas di Negeri Sembilan, sekaligus menyumbang ke arah mengurangkan kadar pelepasan karbon negara”, katanya dalam kenyataan media CIMA.

 

simen 2
Aminuddin Harun pada majlis pelancaran kilang bancuh konkrit kelima UPC yang terletak di Sendayan bagi menyokong pelbagai projek pembangunan dan pembinaan di Negeri Sembilan

 

Selain daripada Sendayan, empat lagi kilang bancuh konkrit UPC yang terletak di Sungai Besi, Nilai, Labu dan Meranti telah menerima pensijilan ISO 9001 dan Perakuan Pematuhan Standard (PPS). 

 

Sejak ditubuhkan pada 1993, UPC memiliki kepakaran dalam menghasilkan penyelesaian konkrit yang dirangka khusus bagi memenuhi keperluan spesifik setiap pembangunan tertentu di mana produk konkrit berprestasi tinggi dan hijau keluarannya sering digunakan bagi menjayakan projek infrastruktur utama negara.

 

Ini termasuk Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Pulau Pinang, rangkaian transit aliran ringan (LRT) di Lembah Kelang dan Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur.- DagangNews.com