CIMB anjur pameran seni, pertunjukan fesyen bermula 20 hingga 24 Oktober 2022 | DagangNews Skip to main content

CIMB anjur pameran seni, pertunjukan fesyen bermula 20 hingga 24 Oktober 2022

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Rafe Haneef; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ken Holdings Berhad, Datuk Kenny Tan, Datuk Abdul Rahman Ahmad, Pengarah Galeri Reka Bentuk Teras, Scarlette Lee dan Duta Sepanyol di Malaysia, Jose Luis Pardo melihat beberapa karya seni di CIMB Artober 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) melancarkan 'CIMB Artober Art & Soul' dan 'CIMB Artober Fashion Week' yang berlangsung bermula hari ini hingga 24 Oktober 2022 di Menara KEN TTDI dan Glo Damansara Mall, dua program baharu diadakan secara serentak di bawah inisiatif CIMB Artober. 

 

CIMB Artober ialah acara seni, budaya dan gaya hidup Kumpulan yang merupakan inisiatif menambah semangat dan kecergasan, sambil menyokong komitmen CIMB terhadap memperkukuh ekosistem seni dan budaya tempatan.

 

Ia sekali lagi menyerlahkan beberapa minda artistik yang paling kreatif dan progresif dalam lukisan, seni visual dan fesyen, pasaran untuk mempertingkat dan memperkasakan industri kreatif tempatan. 

 

Acara itu menampilkan 15 galeri seni paling terkenal di Malaysia mempamerkan lebih 150 pengkarya dengan lebih 600 karya seni artis baharu yang akan dipertontonkan serta penjualan kepada orang ramai.

 

CIMB Artober Art & Soul yang diadakan di Menara KEN TTDI akan ditampilkan karya seni baharu daripada 10 galeri seni yang mengambil bahagian, termasuk A+ Works of Art, Artas Galeri, Art WeMe Galeri Kontemporari dan sebagainya.

 

Selain daripada seni kontemporari, penggemar tekstil dan warisan akan berpeluang untuk mendapatkan pemandangan secara dekat koleksi Kain Tenun DiRaja Pahang dan lukisan kepunyaan  Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di ‘Pahang Pavilion’.

 

Selain itu, pengunjung juga dapat menikmati siri pertunjukan fesyen menarik yang memaparkankoleksi Resort & Art-to-Wear terkini oleh beberapa pereka terkemuka negara di CIMB Artober Fashion Week iaitu Anuar Faizal, CARRO, Masyadi Mansoor, NR Exclusive, Pink Jambu, Radzuan Radziwill, dan SriCandy. 

 

 

cimb

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, seni terus berkolaborasi dan menjangkau semua komuniti.

 

"Oleh itu, adalah penting untuk menekankan kepentingan seni sebagai sumber kebanggaan negara, usaha untuk memelihara budaya, yang seterusnya akan menyumbang kepada ekonomi keseluruhan. 

 

"Di CIMB, kami bersemangat untuk mencipta dan mengukuhkan pasaran seni kontemporari melalui pemerkasaan ekonomi dan kami berharap CIMB Artober akan terus menjadi platform utama dalam menyediakan peluang kepada artis, pereka, dan pengamal seni untuk meningkatkan kehadiran mereka dan melahirkan pembangunan jauh dalam industri," katanya. - DagangNews.com