KUALA LUMPUR 7 Julai - CIMB Foundation memberi penghormatan dan meraikan artis muda tempatan daripada Anugerah Malaysian Emerging Artist (MEA) oleh CIMB Foundation dengan menampilkan 65 karya seni kreatif baharu di Pameran Tiga Belas Artis Terbaik.
Selaras dengan satu daripada teras CIMB Foundation, iaitu Pemerkasaan Ekonomi, pameran ini mengukuhkan lagi komitmen yayasan ini dalam menyemarakkan ekosistem seni dan budaya tempatan.
Pameran tersebut menampilkan karya seni oleh pemenang dan finalis Anugerah MEA 2022, di mana CIMB Foundation merupakan Rakan Kongsi Korporat Utama.
Pameran ini dibuka kepada pengunjung awam selama 10 hari bermula 6 Julai 2023 di International Gallery, Limkokwing University of Creative Technology, Cyberjaya.
Antara 13 artis terbaik yang mempamerkan karya seni mereka termasuk lima pemenang Anugerah MEA 2022 oleh CIMB Foundation, iaitu Amar Shahid, Aza Ikmal, Noor Zahran, Syahmi Jamaluddin dan Syazwan Rahim.
Sepanjang pameran tersebut, pelbagai aktiviti menarik turut dijadualkan seperti sesi perkongsian mengenai industri seni, serta kelas dan lawatan kurator yang bertujuan untuk memberi pengunjung pengalaman mendalam mengenai karya seni yang dipamerkan.
Ditubuhkan pada 2009 dan cetusan idea artis tempatan terkemuka, Bayu Utomo Radjikin, Anugerah MEA merupakan pertandingan seni yang dianjurkan setiap dua tahun, di mana acara ini memberi penghormatan kepada bakat-bakat baharu dalam industri seni.
Anugerah MEA adalah sebuah platform yang memberikan peluang kepada artis-artis tempatan baharu untuk mencapai cita-cita mereka dalam pasaran seni tempatan dan antarabangsa.
Kesemua tiga belas artis diberi peluang untuk melawat galeri, bengkel dan studio artis di tiga bandar di Indonesia, iaitu Jogjakarta, Bandung dan Jakarta.
Lawatan selama 10 hari tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada lapisan anak seni baharu, di samping menjalin rangkaian dan memupuk hubungan perniagaan dengan artis dan penggiat seni.
Ia merupakan sebahagian daripada pengalaman yang mereka perolehi sebagai barisan pemenang dan finalis anugerah MEA.
Majlis perasmian pelancaran pameran tersebut dihadiri oleh Pengerusi, MyCreative Ventures, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan dihadiri oleh Ketua Pegawai Penjenamaan, Limkokwing University of Creative Technology, Dato’ Tiffanee Lim; Pengerusi, CIMB Foundation Datuk Mohd Nasir Ahmad, dan pemangku CEO CIMB Foundation Ahmad Shahriman Mohd Shariff, serta wakil-wakil daripada CIMB, Limkokwing University of Creative Technology dan MyCreative Ventures.
Datuk Mohd Nasir berkata, “Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, CIMB Foundation mengetengahkan martabat dan kualiti hidup masyarakat di sekeliling kawasan kami beroperasi”.
“Kami kekal teguh dalam memperkasakan komuniti dari segi ekonomi, dengan mencipta lebih banyak peluang, di samping memainkan peranan aktif dalam memacu ke arah kesejahteraan industri kreatif. Kita perlu mengangkat seni sebagai sebuah aset dan dengan itu, kami berbesar hati untuk menerajui inisiatif ini dalam memastikan ekosistem seni dan budaya tempatan terus berkembang pesat dengan menyuntik lebih keterujaan dalam pasaran seni melalui pameran ini,” ujar beliau.
“Karya seni yang dipaparkan dalam pameran ini menandakan momentum yang positif untuk ekosistem seni dan kami berharap pendedahan yang diperoleh oleh artis-artis ini dapat dijadikan sebagai pemangkin untuk memacu masa depan mereka yang lebih cerah.
“Pada masa yang akan datang, kami berharap untuk menerima lebih banyak sokongan daripada orang ramai dan syarikat-syarikat dalam usaha sama untuk menyokong pertumbuhan dan daya maju persada seni dan budaya.”
Dato’ Muhammad Bakhtiar berkata, “industri seni merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara, di mana ia juga memainkan peranan penting dalam membentuk identiti peribadi kita, serta memperkasakan pembangunan negara.
Anugerah MEA oleh CIMB Foundation merupakan satu daripada inisiatif di bawah CIMB Artober 2022. CIMB Artober akan kembali tahun ini dengan inisiatif seni, budaya dan gaya hidup yang akan berlangsung selama tiga bulan, dengan tujuan untuk menyemarakkan lagi ekosistem seni dan budaya tempatan. Ia akan bermula dengan CIMB Artober Art & Soul di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dari 5 Oktober hingga 8 Oktober 2023. – DagangNews.com