CIMB luluskan lebih RM10 bilion bantuan bayaran balik pinjaman | DagangNews Skip to main content

CIMB luluskan lebih RM10 bilion bantuan bayaran balik pinjaman

CIMB Bank

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. - CIMB Bank Berhad serta CIMB Islamic Bank Berhad telah meluluskan lebih daripada RM10 bilion bantuan pembayaran balik pinjaman kepada pelanggannya hingga pertengahan Oktober.

CIMB dalam satu kenyataan berkata, jumlah kelulusan itu melibatkan lebih 60,000 permohonan daripada dua kategori pelanggan iaitu individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Kini, sekitar 85% daripada pelanggan CIMB kembali membuat pembayaran seperti yang dijadualkan bermula 1 Oktober 2020.

"Bagaimanapun, 15% lagi terdiri daripada pelanggan yang telah mendapatkan bantuan pembayaran balik dan masih berunding untuk penyusunan semula pinjaman dengan pihak CIMB," jelas CIMB.

Dalam kenyataan yang sama, CIMB mengumumkan bantuan tersebut masih ditawarkan kepada pelanggan yang terjejas akibat peningkatan semula wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Langkah itu juga adalah untuk memberi ruang kepada pelanggan bagi membuat permohonan bantuan berkenaan.

CIMB memberitahu, pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu pelanggan dan menyeru agar pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan menghubungi bank.

Sejak bulan lalu, CIMB secara aktif menghantar surat dan e-mel kepada peminjam yang terjejas dan belum menghubungi CIMB untuk memaklumkan berkaitan bantuan yang tersedia.

Jelas CIMB, pelanggan juga perlu yakin bahawa bantuan kewangan yang diambil itu tidak akan mempengaruhi status Central Credit Reference Information System (CCRIS).

"CIMB tetap komited untuk memastikan bantuan tersebut memenuhi keperluan pelanggan dan memastikan perkhidmatan perbankan yang berterusan melalui cawangan dan platform dalam talian sepanjang tempoh ini.

"Untuk bantuan lanjut, pelanggan boleh menghubungi Pusat Perhubungan CIMB di talian 603-6204 7788 atau e-mel covidcare@cimb.com," tambah CIMB.  

Bagi PKS pula, mereka boleh menghubungi Pusat Panggilan Perniagaan CIMB di talian 1300 888 828 (tempatan) dan +603 2297 3000 (luar negara) dari Isnin hingga Jumaat dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam dan Sabtu dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang (tidak termasuk cuti umum). 

Pelanggan bukan PKS dan korporat juga boleh menghubungi Pengurus Perhubungan CIMB mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pilihan pembiayaan. - DagangNews.com