CIMB tawar ahli KWSP pinjaman peribadi Cash Plus FSA2 dengan 4.5% kadar tetap setahun  | DagangNews Skip to main content

CIMB tawar ahli KWSP pinjaman peribadi Cash Plus FSA2 dengan 4.5% kadar tetap setahun 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Dis - CIMB Bank Berhad menawarkan pinjaman peribadi Cash Plus Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkelayakan, dengan kadar pengenalan yang menarik dalam pasaran pada 4.5% kadar tetap setahun.

 

Dalam kenyataan media hari ini, CIMB berkata permohonan pembiayaan peribadi berkenaan boleh dibuat melalui platform dalam talian mesra pengguna yang khusus. 

 

Proses permohonan digital sepenuhnya akan membolehkan pelanggan melayari laman web secara bebas, menyelesaikan semakan kelayakan dan menyerahkan permohonan mereka dengan lancar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pengguna Kumpulan dan Perbankan Digital CIMB Group, Effendy Shahul Hamid berkata pihaknya percaya dalam memastikan semua anggota masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan dan diberi kuasa untuk membuat keputusan pembiayaan berdasarkan keperluan mereka.

 

 

Effendy Shahul Hamid
Effendy Shahul Hamid

 

 

"Oleh itu, kami berbesar hati menawarkan Pinjaman Peribadi Cash Plus Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) bagi menyediakan saluran tambahan untuk ahli KWSP.

 

“Bagi melengkapkan tawaran ini, CIMB juga menawarkan kadar faedah pengenalan yang menarik sebanyak 4.5% kadar tetap setahun, yang merupakan salah satu kadar paling kompetitif dalam pasaran, memberikan pelanggan kami nilai lebih besar dan pilihan pembiayaan fleksibel,” tambahnya dalam kenyataan tersebut.

 

Pembiayaan peribadi ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia berkelayakan, berumur antara 40 dan 55 tahun dengan pendapatan kasar minimum RM2,000 dan baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka. 

 

Pemohon yang layak akan mempunyai akses pembiayaan sehingga RM50,000, bergantung kepada baki Akaun 2 KWSP mereka dengan tempoh bayaran balik sehingga 10 tahun. 

 

Ini memberikan fleksibiliti kepada ahli untuk menguruskan matlamat kewangan mereka dan mengurangkan potensi keperluan tunai.

 

Maklumat lanjut tentang produk dan cara memohon, boleh dilayari di laman web www.cimb.com.my/cash-plus-personal-loan-fsa2- DagangNews.com