Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov. - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad meningkatkan akses pembelian produk yang sering mendapat permintaan tinggi secara dalam talian atau digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta berkata, inisiatif berkenaan adalah bagi membantu keperluan produk perbankan pelanggan dengan lebih mudah seiring dengan perkhidmatan digital bank yang disebabkan oleh pandemik.
"CIMB sentiasa mementingkan pelanggan dalam apa jua yang kami lakukan. Inisiatif ini membolehkan mereka membeli produk kami secara dalam talian sekali gus memberi pengalaman perbankan digital kepada pelanggan.
"Dalam persekitaran semasa, kami melihat ramai pelanggan mencari banyak cara untuk membuat pelaburan dan simpanan secara dalam talian, dengan itu kami ingin memberi sokongan kepada keperluan mereka dengan baik," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Insiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan CIMB untuk memperluas penawaran digital dengan cepat seiring dengan norma penjarakan sosial.
Pelanggan boleh memohon pelbagai produk CIMB termasuk kiriman wang, pelaburan unit amanah, insurans motor, akaun bank, kad kredit, pinjaman peribadi cash plus, penempatan deposit, nilai mata wang perjalanan dan Akaun Pelaburan e-gold (eGIA).
Terdahulu, CIMB telah melancarkan beberapa produknya secara digital seperti insurans Rumah Selamat, SOMPO Motor dan eGIA bagi pelaburan emas melalui CIMB Clicks.
Selain itu juga, pada Julai 2020, CIMB telah mengumumkan pembukaan akaun bank dalam talian bagi pelanggan perbankan individu.
Penyelesaian itu berjaya mengurangkan masa perkhidmatan untuk pembukaan akaun lebih daripada 50% yang digunakan lebih 8,000 pelanggan sejak dilancarkan.
Tambah beliau, penggunaan digital perbankan CIMB mencatatkan peningkatan dalam kalangan pelanggan.
Ujarnya, perkara tersebut dibuktikan melalui peningkatan jualan e-Gold dalam talian sebanyak 1,200%, sementara jualan produk pelaburan dalam talian meningkat 571% pada September 2020.
"Kami berharap dapat memperkenalkan lebih banyak penyelesaian digital untuk menjadikan perbankan kami lebih lancar dan selamat selain melengkapi gaya hidup mudah alih pelanggan," katanya lagi. - DagangNews.com