Ciri terbaharu eGO dalam Bursa Anywhere mudahkan pelabur | DagangNews Skip to main content

Ciri terbaharu eGO dalam Bursa Anywhere mudahkan pelabur

 

 


KUALA LUMPUR 7 Okt. - Bursa Malaysia Bhd. memperkenalkan tambahan terbaharu bagi aplikasi mudah alih, Bursa Anywhere yang dikenali Tawaran Am elektronik (eGO). 

 

Ciri terbaharu ini membolehkan pemegang saham menerima Tawaran Am mereka secara elektronik dengan cara yang mudah dan lancar menerusi aplikasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, dengan mengeluarkan penghantaran secara fizikal atau pos bukan sahaja dapat meningkatkan tempoh pemulihan tetapi memudahkan pelabur dengan proses dan pengalaman yang lancar terutama dengan situasi semasa COVID-19.

 

"Pengumuman hari ini mengenai ciri terbaru ini adalah kesinambungan daripada matlamat kami untuk meningkatkan titik sentuh digital kami melalui pengalaman pertama mudah alih kami.

 

"Dengan eGO beserta ciri-ciri yang mesra pengguna dalam aplikasi, menjadikan Bursa Anywhere lebih menjimatkan masa dan menarik untuk pelabur," katanya dalam kenyataan hari ini.
 

Sebelum ini, para pelabur perlu menghantar borang pemindahan kepada broker untuk memindahkan sekuriti diikuti penyerahan dokumen tawaran bagi menerima tawaran berkenaan. 

 

Tetapi, kini, semua permohonan dan penyerahan dokumen boleh dibuat menerusi eGO kerana ciri terbaharu ini memudahkan para pelabur untuk memohon Tawaran Am.

 

Inisiatif ini juga memberi banyak faedah kepada pemegang saham kerana mereka tidak perlu lagi berurusan dengan broker secara fizikal bagi menyerahkan borang pindahan bagi melaksanakan pemindahan dan pendaftar saham untuk penyerahan dokumen tawaran. 

 

Sejak dilancarkan, Bursa Anywhere banyak menghimpunkan pengguna baharu dengan pelbagai peningkatan baharu diperkenalkan.

 

Malah, ciri terbaharu itu tepat pada masanya kerana wabak COVID-19 mendorong kebanyakan pelabur beralih kepada pilihan pelaburan elektronik yang lebih selamat dan mudah.

 

Bursa Anywhere dibangunkan untuk menyediakan para pelabur dengan akses yang mudah bagi menguruskan akaun CDS di mana-mana jua. 

 

Untuk menggunakan perkhidmatan ini, pelabur perlu mendaftar dengan aplikasi Bursa Anywhere yang boleh dimuat turun di Apple Store dan Google Play Store. - DagangNews.com