KUALA LUMPUR 2 Feb - Syarikat penyedia penyelesaian kebakaran, CME Group Berhad mengumumkan pelantikan aktivis terkenal Tengku Munawirah Putra sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif berkuatkuasa hari ini.
Tengku Munawirah, 52, adalah Setiausaha Kehormat Kumpulan Ibu bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) dan juga cucu kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.
Beliau yang memegang ijazah Sarana Sains Komunikasi Massa dari Boston University merupakan kolumnis di dalam akhbar The Star dan The Edge.
Tengku Munawirah mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam pelbagai bidang terutamanya dalam Pembangunan Perniagaan, Komunikasi & Pengiklanan di mana beliau memulakan kerjayanya pada tahun 1995.
Pada tahun 1999, beliau menyertai Natseven TV Sdn. Bhd. (NTV7), barisan perniagaan syarikat termasuk penyiaran program visual melalui televisyen kepada orang ramai. Beliau adalah Ketua Kumpulan Jenama Rangkaian di NTV7, yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan pemasaran jenama dan keuntungan utama.
Beliau juga merupakan bekas Ketua Pembangunan Perniagaan Malaysia Stanton Technologies (M) Sdn. Bhd. di mana beliau mengetuai pasukan pembangunan perniagaan untuk mendapatkan perniagaan baharu dengan Celcom (M) Bhd pada tahun 2009.
Pada tahun 2010, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Dunia Diyari Sdn. Bhd. di mana beliau menubuhkan, memimpin, mengurus, mendapatkan sumber pembiayaan untuk membangunkan kandungan aplikasi mudah alih, bernama Send Doa.
Kini Tengku Munawirah adalah Pengarah Bukan Eksekutif bagi Kumpulan Sentiasa Cemerlang Sdn Bhd berkuat kuasa mulai 31 Mac 2023. - DagangNews.com