KUALA LUMPUR 4 April – Cnergenz Bhd., menandatangani perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penyedia rumusan pembuatan elektronik berpangkalan di Pulau Pinang, khusus dalam teknologi peletakan permukaan (SMT) bagi industri elektronik dan semikonduktor telah memperoleh kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities dan menyasarkan untuk melancarkan prospektus pada April 2022.
Aktiviti IPO melibatkan terbitan awam 100 juta dan tawaran untuk jualan sebanyak 50 juta terbitan saham dengan cara penempatan persendirian.
Daripada terbitan awam itu, sebanyk 25 juta terbitan saham akan dibuka untuk permohonan kepada rakyat Malaysia, manakala 10 juta saham akan diperuntukkan kepada permohonan daripada pengarah dan kakitangan yang layak serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Sebanyak 52.75 juta saham pula akan diperuntukkan bagi tawaran persendirian kepada pelabur yang dikenal pasti dan 12.25 juta saham akan diperuntukkan kepada tawaran persendirian bagi pelabur bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
UOB Kay Hian akan menaja jamin agregat 35 juta terbitan saham, yang terdiri daripada 25 juta saham di bawah terbitan awam dan 10 juta saham diperuntukkan kepada orang yang Layak bedasarkan perjanjian taja jamin yang ditandatangani.
Ketua Pegawai Eksekutif Cnergenz, Lye Yhin Choy berkata, penyenaraian itu akan membolehkan kedudukan kumpulan diperkukuh sebagai penyedia rumusan pembuatan elektronik yang utama di Malaysia.
"Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan kehadiran pasaran di Thailand dan Vietnam, negara-negara yang mendapat manfaat daripada aliran pelaburan yang kukuh ke dalam industri E&S," katanya dalam kenyataan hari ini.
Cnergenz bekerjasama rapat dengan rangkaian lebih 50 pembekal untuk menawarkan penyelesaian berkualiti untuk pelanggannya, membina rangkaian yang kukuh dan menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan perniagaan. - DagangNews.com