KUALA LUMPUR 4 April - CompAsia menjangkakan pertumbuhan kukuh operasinya pada tahun 2022, sebahagian besar dipacu peningkatan pilihan pelanggan terhadap peranti terpakai serta keyakinan mereka terhadap jaminan dan kualiti terbaik produk yang didagangkan di platform berkenaan.
Syarikat itu menyasarkan pertumbuhan dua kali ganda pendapatannya pada 2022 berbanding tahun sebelumnya dengan segmen e-gedung menerajui prestasi perniagaan setelah memperlihatkan pertumbuhan sebanyak 2,500% sejak dua tahun lalu.
CompAsia mencatatkan perolehan keseluruhan sebanyak sembilan angka tahun lalu, sebahagian besar disumbangkan tumpuan pendekatan perniagaan kepada pengguna (B2C) ekoran pandemik COVID-19 yang melanda.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CompAsia, Julius Lim berkata, pada kebiasaannya pihaknya menyediakan pembelian semula B2B (business to business) dan solusi pertukaran dengan syarikat-syarikat telekomunikasi dan pengeluar telefon utama di rantau ini.
"Namun, pandemik semasa telah meningkatkan permintaan terhadap peranti berkualiti pada harga berpatutan, khasnya telefon-telefon pintar. Ini ekoran penguatkuasaan kawalan pergerakan yang memaksa pengguna belajar atau bekerja dari rumah.
“CompAsia melancarkan e-gedung pertamanya di Malaysia dalam keadaan semasa ini setelah menyaksikan potensi dan permintaan pasaran yang amat besar di rantau ini. Kami juga mempunyai saluran baharu di Singapura dan Thailand yang menyertai usaha ini pada bulan lalu. Syarikat sedang meneroka untuk memperluaskan perniagaan pemasaran semula ke pasaran-pasaran lain pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa ini syarikat berkenaan beroperasi di sembilan pasaran di rantau ini dan menjalin usaha sama dengan lebih 50 syarikat berkaitan teknologi mudah alih dan kewangan.
Pada tahun 2020, CompAsia telah menjual sebanyak 500,000 peranti di seluruh dunia dengan angka berkenaan meningkat kepada lebih 600,000 unit pada 2021. Syarikat tersebut mendagangkan peranti-peranti terpakai yang telah diperbaiki seperti telefon pintar, komputer riba dan jam pintar.
Pada masa ini CompAsia merupakan satu-satunya syarikat dagangan semula di dunia yang menawarkan penyelesaian penuh di platform e-dagangannya menerusi penyediaan sokongan pembiayaan dan penjagaan peranti.
ReNew+ adalah satu kemudahan pembiayaan peranti yang pertama seumpamanya yang dilengkapi skor kredit serta-merta di ASEAN, manakala InstaCover menyediakan penjagaan peranti secara digital yang terpantas di rantau ini.
Untuk menyokong pertumbuhan yang dirancang, syarikat tersebut juga sedang meneliti untuk mempertingkatkan dua kali ganda bilangan tenaga kerjanya dan seterusnya berbanding 250 kakitangan yang ada pada masa ini. - DagangNews.com