Coraza umum tawaran awam permulaannya terlebih langgan sebanyak 132.5 kali | DagangNews Skip to main content

Coraza umum tawaran awam permulaannya terlebih langgan sebanyak 132.5 kali

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan bersepadu Coraza Integrated Technology Berhad (Coraza) mengumumkan tawaran awam permulaan (IPO) untuk bahagian awam telah terlebih langgan sebanyak 132.5 kali. 

 

Dalam satu kenyataan, Coraza berkata, sebanyak 26,781 permohonan untuk mendapatkan 2.86 bilion saham baharu, bernilai RM800.7 juta telah diterima bagi 21.4 juta saham baharu yang disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia.

 

Ujarnya, bahagian Bumiputera telah terlebih langgan sebanyak 93.7 kali, dengan 12,482 permohonan untuk 1.01 bilion saham baharu diterima. 

 

"Bagi bahagian awam, sebanyak 14,299 permohonan untuk 1.85 bilion saham baharu telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 171.4 kali.

 


"Sementara itu, 21.4 juta saham baharu untuk Pengarah yang layak, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan Coraza juga telah dilanggan sepenuhnya. 

 

"Di samping itu, Ejen Penempatan kami telah mengesahkan bahawa 96.4 juta saham yang disediakan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah dikeluarkan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Coraza, Lim Teik Hoe berkata, syarikat gembira melihat sokongan padu daripada pelabur runcit dalam sahamnya. 

 

"Sokongan yang diperolehi adalah petanda yang menggalakkan apabila Coraza memulakan fasa pertumbuhan seterusnya sebagai syarikat tersenarai awam. 

 

“Tempoh pembukaan prospektus kami adalah semasa musim Krismas dan cuti akhir tahun. Ini merupakan bukti keyakinan orang ramai terhadap model perniagaan Coraza dan rancangan masa depan Kumpulan. 

 

“Hasil itu akan membolehkan kami mengembangkan ruang pembuatan sedia ada kami dengan menjangkakan permintaan kukuh untuk perkhidmatan kami," katanya. -DagangNews.com