COVID-19: KKM tidak cadang laksana sekatan termasuk PKP | DagangNews Skip to main content

COVID-19: KKM tidak cadang laksana sekatan termasuk PKP

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 18 Dis - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang untuk melaksana sebarang sekatan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 ketika ini.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM sedang melaksana lima langkah dan strategi dalam menghadapi peningkatan jangkitan ketika ini.

 

"Kita (KKM) harap dapat melalui (fasa peningkatan jangkitan ketika ini) tanpa melalui sekatan termasuk PKP yang dilaksana pada awal pandemik dulu.

 

"Kita dah tak cakap mengenainya (sekatan) atau akan mengulangi PKP. Sebab banyak yang tanya dan banyak kegusaran di situ," katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya hari ini.

 

Katanya, fasiliti kesihatan ketika ini sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan berlaku peningkatan kemasukan pesakit ke hospital.

 

"Kita sedia termasuk dengan (fasiliti kesihatan) ATM, swasta dan NGO (badan bukan kerajaan).

 

"KKM sedang memantau rapi kapasiti hospital melalui Bed Management Unit (BMU) dan bersedia dengan lonjakan (penggunaan) kapasitinya.

 

 

kkm
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika mengadakan sidang media KKM di Putrajaya pada 18 Disember 2023

 

 

"Kita tahu bagaimana mahu 'mobilise' untuk dapatkan kapasiti seperti katil dan sebagainya termasuk kesiapsiagaan perkhidmatan hospital yang terdiri dari empat teras iaitu kecukupan akses, kelestarian rawatan, pengurusan prahospital dan kecemasan berkaitan COVID-19," katanya.

 

Mengulas lanjut katanya, fasiliti kesihatan lain termasuk dengan di hospital pengajian universiti, fasiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), swasta dan NGO (badan bukan kerajaan) juga bersedia dan boleh membantu menyedia perkhidmatan rawatan pesakit, lapor Berita Harian.

 

"Kita sedia untuk 'mobilise' semua fasiliti sama ada swasta, ATM, NGO atau universiti. Apa yang kami akan pastikan supaya kapasiti hospital yang ada ini masih mampu menampung (kemasukan pesakit susulan) ledakan ini," katanya.

 

Katanya, KKM juga akan terus memantau sistem amaran awal (HAS) untuk mengambil sebarang langkah kawalan penularan jangkitan ketika ini. - DagangNews.com