Cradle, Invest India bentuk kolaborasi strategik, perkukuhkan ekosistem Startup antara dua negara | DagangNews Skip to main content

Cradle, Invest India bentuk kolaborasi strategik, perkukuhkan ekosistem Startup antara dua negara

Majlis pertukaran tersebut diwakili oleh Norman Matthieu Vanhaecke dan Shri Sanjiv, disaksikan oleh Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz di New Delhi pada 21 Ogos 2024. - Gambar Cradle
Oleh Mohamad Iman

NEW DELHI 30 Ogos – Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), agensi fokal bagi ekosistem startup Malaysia, dan Invest India, agensi promosi dan pemudah cara pelaburan di bawah Kerajaan India, menandatangani dan bertukar Surat Kerjasama (LOC) untuk menubuhkan India-Malaysia Startup Alliance (IMSA) melalui Startup India.

 

Kolaborasi strategik ini bertujuan memperkukuhkan penglibatan dan kerjasama antara startup berasaskan teknologi di kedua-dua negara.

 

Startup India, iaitu sebuah inisiatif utama oleh Invest India, bertujuan memperkasakan budaya startup dan membina ekosistem yang lebih kukuh, inklusif dan berinovasi untuk keusahawanan di India.

 

Inisiatif di bawah Jabatan Promosi Industri dan Perdagangan Domestik, Kementerian Perdagangan dan Industri India, ini memainkan peranan penting dalam memudahkan aliran masuk pelaburan asing ke India serta mempromosikan pertumbuhan ekonomi negara itu.

 

Mengulas mengenai LOC antara kedua-dua agensi ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, berkata, India dan Malaysia telah mendapat manfaat daripada hubungan dua hala yang dibina berasaskan dasar diplomasi yang menjurus kepada kemakmuran bersama.

 

Menurut beliau, perjanjian antara Cradle dan Invest India ini adalah lanjutan daripada hubungan ekonomi dan komersial yang kukuh antara dua negara ini.

 

“Selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai salah satu negara dagangan utama India, kerjasama ini akan menggalakkan startup tempatan untuk meneroka pasaran India yang mempunyai 1.4 bilion penduduk dan juga menyediakan laluan untuk startup berkualiti dari India untuk menembusi pasaran ASEAN melalui Malaysia.

 

"Ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 ekosistem startup terbaik global menjelang 2030,” katanya.

 

 

cradle
Cradle dan Invest India telah bertukar-tukar Surat Kerjasama (LOC) untuk menubuhkan Perikatan Startup India-Malaysia (IMSA) dengan tujuan memupuk penglibatan dan kerjasama yang lebih besar antara syarikat permulaan berasaskan teknologi di kedua-dua negara. - Gambar Cradle

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, perjanjian antara Cradle dan Invest India yang juga dimeterai julung kali ini bukan sahaja dapat mengukuhkan komitmen kedua-dua buah negara ini, tetapi juga dapat memupuk kerjasama keusahawanan teknologi merentas sempadan serta mendorong pertumbuhan transformatif dalam ekosistem startup di India dan Malaysia.

 

Majlis pertukaran LOC ini telah diadakan di New Delhi pada 21 Ogos 2024, bersempena lawatan rasmi Malaysia ke India yang diketuai oleh Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim. Perjanjian ini dibentuk untuk menjadi rangka kerja dua hala utama dalam penglibatan inovasi startup antara kedua-dua negara.

 

Majlis pertukaran ini diwakili oleh Norman, Norman dan Shri Sanjiv, Setiausaha Bersama, Jabatan Promosi Industri dan Perdagangan Domestik, Kementerian Perdagangan dan Industri India, disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

Sepanjang tahun 2024, IMSA akan memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran mengenai pembangunan ekosistem startup di Malaysia dan India dengan penekanan kepada usaha campur tangan Kerajaan, kerjasama industri, dan penglibatan universiti.
 

Inisiatif utama di bawah IMSA akan merangkumi sesi pembangunan kapasiti secara maya, acara perkongsian pengetahuan, dan program padanan startup. Usaha ini juga akan menyaksikan penyertaan delegasi Malaysia dan India serta pemain ekosistem startup di acara utama seperti Startup Mahakumbh 2025 dan ASEAN-India Startup Festival 2025 yang akan diadakan di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

 

Program padanan ini juga dilaksanakan untuk memacu nilai pelaburan dan kontrak komersial berjumlah hampir RM100 juta daripada pelabur modal teroka dan korporat yang berpotensi di ASEAN dan India.

 

Selain itu, program-program ini akan menghubungkan startup dengan pihak berkepentingan yang relevan untuk meneroka peluang pembangunan pasaran dan penyelidikan, serta kerjasama industri yang lebih mendalam. - DagangNews.com