Dari kiri K Raman, Ameer Shaik Mydin, Kavinthraj Panneerchelvam, Tan Sri Annuar Musa, Steve Hong, Tan Sri Dato’ Mohd Ibrahim Mohd Zain dan Dato’ Sri Sr. Md Alwi Che Ahmad
Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 7 Dis - CS Cloud Sdn Bhd (CS Cloud), anak syarikat Censof Holdings Berhad (Censof) menandatangani perjanjian usaha sama dengan Cloocus Co. Ltd (Cloocus Korea) bagi memudahkan perkongsian kepakaran di dalam sektor perkhidmatan awan.
Ketua Pegawai Eksekutif CS Cloud Kavinthraj Panneerchelvam berkata, usaha sama itu bakal menyaksikan penubuhan sebuah entiti baharu yang dinamakan Cloocus Sdn Bhd (Cloocus) yang akan membangun dan mengendalikan operasi pengurusan awan skala hiper (Microsoft Azure), selain daripada perniagaan Microsoft, termasuklah MW: Modern Work dan Biz Apps.
Ujarnya, CS Cloud dan Cloocus Korea masing-masing akan memiliki pegangan sebanyak 50 peratus dengan suntikan modal awalan sebanyak AS$2 juta (RM8.4 juta).
Menerusi usaha sama itu juga, Cloocus Korea akan membekalkan kepakaran teknikal, sumber dan aset miliknya manakala CS Cloud berperanan menyediakan rangkaian jualan tempatan, aktiviti berkaitan pemasaran dan pelanggan serta maklumat mengenai budaya tempatan serta corak tingkah laku pelanggan.
"Kami sedang melaksanakan komitmen penting untuk terus memacu pembaharuan digitalisasi di Malaysia, terutamanya dalam sektor perkhidmatan awan.
"Tidak dapat dinafikan lagi, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, telah memacu proses pembaharuan digital.
"Kerjasama ini dijangka dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pertumbuhan bagi ekonomi digital dan dalam masa yang sama bertindak sebagai satu mekanisme untuk melonjakkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di dalam perniagaan tempatan.
"Justeru, ia akan terus mengukuhkan pelaburan langsung asing ke Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Cloocus Korea, Steve Hong.
Sementara itu Honf berkata Hong berkata, Malaysia adalah satu daripada negara paling kaya di Asia Tenggara dengan pasaran kewangan awam yang maju dan perjalanan sistem awan boleh dipercepatkan sepenuhnya, terutamanya dengan penubuhan Pusat Data Microsoft Azure tahun ini.
"Dengan memanfaatkan perkhidmatan awan yang meluas, Cloocus merancang untuk menjadi peneraju dan mencipta impak revolusi terhadap pasaran awan Malaysia dengan menjalin kerjasama dengan Censof Group, sebuah institusi kukuh di dalam pasaran kewangan awam," katanya. -DagangNews.com