KUALA LUMPUR 10 Mei - CTOS Digital Bhd menerusi CTOS Data Systems Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama platform teknologi kewangan (fintech) terkemuka bagi mengukuhkan komitmen bagi mempromosikan literasi kewangan dan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kesihatan kredit.
CTOS telah bergabung tenaga dengan MoneyX, PAYLATER, iMoney, KawanPay, dan Atome, bagi menyediakan Skor CTOS kepada pengguna melalui pangkalan pengguna platform tersebut.
Dengan memanfaatkan kerjasama Skor CTOS dan integrasi API, CTOS dan rakan sekutunya menyasarkan untuk menyelaraskan akses kepada skor kredit dan laporan, serta memberikan pengguna pengetahuan kewangan yang berharga untuk membuat keputusan mengenai permohonan kredit dan pinjaman.
Antara faedah utama perkongsian ini ialah ia memudahkan literasi kewangan yang lebih baik di kalangan pengguna.
Melalui inisiatif dan alatan pendidikan yang disepadukan ke dalam platform rakan kongsi pengguna akan mendapat pemahaman yang lebih mendalam tentang kedudukan kredit mereka, termasuk faktor yang mempengaruhi skor kredit dan amalan terbaik untuk mengurus kredit secara bertanggungjawab.
Mengulas tentang kepentingan perkongsian itu, Ketua Pegawai Kewangan CTOS Digital, Chiam Hsing Chee menekankan kepentingan memanfaatkan platform fintech, e-dagang dan e-dompet untuk memperkasakan pengguna dengan alatan dan pengetahuan yang betul untuk membuat keputusan kewangan.
"Secara global, fintech, e-dagang dan e-dompet telah mengubah cara pengguna mengurus kewangan mereka. Di CTOS, kami memberi komitmen untuk memanfaatkan platform ini untuk memperkasakan ramai orang dengan akses kepada kesihatan kredit mereka.
"Perkongsian kami dengan platform fintech terkemuka ini akan membolehkan berjuta-juta pengguna melanggan dan memahami kesihatan kredit mereka dengan mudah," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MoneyX, Choo Joon Keong berkata, di Malaysia, skor kredit yang sihat adalah kunci kepada pemerkasaan kewangan.
"Perkongsian MoneyX dengan CTOS memperkukuh keupayaan kami untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia.
"Dengan menyepadukan skor kredit, kami dapat menyediakan gambaran yang lebih komprehensif tentang kesihatan kewangan yang dapat memperkasakan rakyat Malaysia untuk mencapai matlamat kewangan mereka," katanya. - DagangNews.com