Cypark tuntut RM61 juta daripada kerajaan atas kerugian dan perbelanjaan melalui timbang tara | DagangNews Skip to main content

Cypark tuntut RM61 juta daripada kerajaan atas kerugian dan perbelanjaan melalui timbang tara

KUALA LUMPUR 9 Jun - Cypark Resources Bhd menuntut RM61.34 juta daripada kerajaan atas kerugian dan perbelanjaan yang timbul daripada pelbagai arahan yang menyebabkan kelewatan menyiapkan kerja melalui timbang tara.

 

Syarikat kejuruteraan tenaga boleh diperbaharui itu mendakwa jumlah yang dituntut tersebut belum dibayar walaupun pengakuan haknya untuk menuntut, notis diberikan dan penyerahan tuntutan muktamad bagi kerugian dan perbelanjaan bertarikh 3 Januari 2022.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Cypark berkata ia telah memulakan prosiding timbang tara terhadap kerajaan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan ketua pengarahnya, dan penimbang tara tunggal telah dilantik.

 

Menurut Cypark, telah dipersetujui bahawa pemilikan tapak berkaitan kontrak akan diberikan pada 24 Ogos 2009, dengan tarikh siap asal kontrak pada 23 November 2011.

 

Ia berkata kerajaan kemudiannya mengeluarkan Sijil Penyiapan Praktikal yang memperakui penyiapan keseluruhan kerja kontrak pada 23 Disember 2015.

 

“Kesemua 16 tapak di bawah kontrak telah diserahkan kepada Kerajaan Malaysia. Pada 20 September 2018, Kerajaan Malaysia mengeluarkan sijil membaiki kecacatan, memperakui bahawa syarikat itu telah memperbaiki semua kecacatan pada 4 September 2018,” tambahnya.

 

Cypark berkata kerajaan telah mengeluarkan pelbagai arahan sepanjang tempoh pembinaan itu menyebabkan kelewatan yang lama untuk menyiapkan projek itu.

 

Ia berkata kerajaan mengakui kelayakan penangguhan kepada syarikat itu dan memberikan lanjutan masa (EOT) kepada syarikat itu.

 

"Berikutan daripada kelewatan yang lama dan EOT yang diberikan, syarikat telah mengalami kerugian dan perbelanjaan yang besar, yang syarikat dapati boleh dituntut di bawah kontrak," kata Cypark, sambil menambah bahawa ia telah memberikan notis dan mengemukakan tuntutannya sejak 2016.

 

Cypark berkata timbangtara itu tidak dijangka mempunyai sebarang kesan operasi dan kewangan material ke atas pendapatan syarikat. - DagangNews.com