D-Max X-Terrain muncul model kedua terlaris buat Isuzu Malaysia | DagangNews Skip to main content

D-Max X-Terrain muncul model kedua terlaris buat Isuzu Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - Isuzu D-Max X-Terrain berjaya menjadi model kedua paling popular dalam kalangan varian trak pikap Isuzu Malaysia selepas pengenalan model 1.9 liter 4x4 Premium yang berjaya mencatatkan jualan 842 unit.

 

Lembah Klang dan Kota Kinabalu menjadi lokasi utama yang menyaksikan jualan tertinggi model berkenaan dan menyumbang lebih separuh daripada angka jualan di seluruh negara.

 

Walaupun bekalan D-Max mengalami gangguan teruk akibat kekurangan bekalan semi-konduktor namun lebih 713 berjaya menerima tempahan X-Terrain baharu mereka.

 

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo berkata, sejak pelancarannya pada April 2021, varian X-Terrain berjaya meluaskan capaiannya kepada kelompok pengguna dan pemilik baharu trak pikap.

 

"Melalui rekaan kukuh dan menarik pada model baharu ini, serta ciri keselamatan dan keselesaannya yang cemerlang seperti SUV, Isuzu D-Max X-Terrain berjaya menjadi trak pikap pilihan di dalam pasaran pada ketika ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Varian baharu X-Terrain dilihat sebagai trak pikap yang memberikan definisi baharu kepada landskap industri trak pikap menerusi penggabungan keselesaan, kehalusan serta keselamatan dalam satu pakej lengkap.

 

pikap

 

Berdasarkan kepada ciri-ciri itu, Isuzu D-Max X-Terrain menerima pelbagai pujian daripada media automotif yang rata-ratanya kagum dengan penampilan model berkenaan yang cukup menarik untuk dipandu.

 

Sejak pelancarannya, Isuzu D-Max X-Terrain berjaya meraih lebih daripada lima anugerah Trak Pikap Terbaik Tahunan. 

 

pikap

 

Carplus, Carlist, DSF.my, Rider ATH dan Wapcar memilih Isuzu D-Max sebagai pemenang kerana kemampuannya dalam menyediakan pengalaman pemanduan trak pikap ke tahap baharu.

 

Sogo berkata, permintaan terhadap varian itu dijangka meningkat sepanjang 2022 dan Isuzu Malaysia komited dalam memenuhi bekalan bagi menceriakan pelanggan.

 

“Ramai pelanggan yang telah menunggu dengan sabar untuk penghantaran trak mereka. Kami berharap agar gangguan bekalan ini diatasi segera untuk membolehkan kami memenuhi semua permintaan trak baharu ini.

 

“Sebaik sahaja bekalan pulih, kami menjangkakan akan dapat menggandakan penghantaran dan mencapai sasaran untuk menjual 8,000 unit tahun ini," katanya.

 

Barisan Isuzu D-Max serba baharu terdiri daripada pelbagai varian untuk memenuhi bermacam keperluan individu dan kepenggunaan, bermula dengan varian Single Cab yang menawarkan keupayaan tenaga kerja cemerlang hinggalah kepada pilihan lebih luas dengan Double Cab yang dilengkapi oleh enjin 1.9 liter atau unit 3.0 liter yang lebih berkuasa. - DagangNews.com